ADAKAH RAFIZI SEDANG MENGHALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?

Baru beberapa hari lepas, Anwar Ibrahim mengingatkan agar jangan ada sesiapa lagi membangkitkan tentang konspirasi untuk menghalang beliau daripada menjadi Perdana Menteri, rupa-rupanya ia tetap dijadikan isu lagi.

Walaupun kenyataan beliau itu adalah susulan permohonan maaf yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid kepada Tun Mahathir Mohamad, kefahaman umum ialah saranan Anwar itu tentulah juga ditujukan kepada semua pihak dan kepada sesiapa yang lain.

Ia tidak terkhusus kepada Abdullah Sani saja agar jangan membangkitkannya lagi, walaupun beliau yang sebelum ini kerap mengutarakannya.

Realitinya, dengan Anwar sendiri tidak mahu lagi lagi isu itu dibangkitkan, ia tentulah kerana beliau sedar isu konspirasi itu memang tidak wujud kerana kedudukan beliau sebagai bakal Perdana Menteri adalah merupakan persetujuan dan permuafakatan antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.

Selagi gabungan itu wujud dan PKR sendiri merupakan tunjangnya, adakah munasabah Anwar dapat dihalang daripada menjadi Perdana Menteri?

Sebab itu agak mengejutkan apabila Rafizi Ramli dalam kempennya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR masih lagi terus membangkitkan perkara tersebut.

Dalam usaha mempromosi dirinya, Rafizi meminta anggota PKR memilih seorang timbalan presiden PKR yang tidak bersaing dengan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

“Bukan kerja politik kita untuk menggulingkan kerjaya politik Anwar dan masa depannya,” kata beliau dalam suatu majlis kempen di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Jawatan Timbalan Presiden PKR kini disandang oleh Azmin Ali yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan dalam pemilihan kali ini Rafizi adalah calon yang akan bersaing bagi jawatan itu.

Kenapa Rafizi masih membangkitkan lagi tentang isu konspirasi bagi jawatan Perdana Menteri?

Apakah beliau masih mahu menyuapkan ke mulut ahli-ahli PKR tentang teori konspirasi bahawa Azmin mahu bersaing dengan Anwar?

Benarkah Azmin sedang atau akan bersaing dengan Anwar jika beliau masih kekal sebagai sebagai Timbalan Presiden PKR?

Adakah perkara itu boleh dipercayai oleh ahli-ahli PKR?

Dalam hal ini, apakah Rafizi sebenarnya tiada modal kempen lain untuk bersaing atau untuk mengalahkan Azmin?

Persoalan lain, mengapa Rafizi tidak mematuhi ingatan Anwar yang meminta agar tidak dibangkit lagi persoalan itu?
Untuk apa dibangkitkan lagi jika Anwar sendiri kelihatan yakin tiada apa-apa konspirasi untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri?

Apa yang sedang diusahakan Rafizi sebenarnya – beliau mahu Anwar jadi Perdana Menteri atau sedang menghalang jawatan Perdana Menteri itu jatuh kepada Anwar dengan cara supaya orangramai terus bercakap mengenai konspirasi itu atau lebih dahsyat, mungkin menyebabkan PKR jadi pecah akhirnya? (ShahbudinHusin 27/08/2018).

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments