MASALAHNYA NAJIB MASIH LAGI BERSAMA UMNO…..

Dalam cubaan untuk mewajarkan hubungan Pas dengan UMNO dan Najib Razak, Hadi Awang berkata, parti itu juga pernah menerima Tun Mahathir Mohamad sebelum ini.

Beliau mengimbas tindakan Pas menerima Tun Mahathir dan memberinya ruang berceramah atas pentas parti itu selepas dipecat daripada UMNO pada tahun 1969 dahulu.

“Kita menerima dan tidak bersikap negatif dengan sesiapa,” tambah Presiden Pas itu lagi.

Sebenarnya tindakan Pas bersabahat dan bekerjasama dengan pemimpin yang pernah dipecat atau keluar daripada UMNO bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Ini kerana selama bertahun-tahun perjuangan Pas ialah untuk mengalahkan UMNO, malah di suatu ketika mahu menggantikan parti itu sebagai pemerintah dan wadah perjuangan bagi orang-orang Melayu.

Selain dengan Tun Mahathir, Pas juga pernah bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan Anwar Ibrahim ketika kedua-dua pemimpin tersebut terpelanting kedudukannya daripada UMNO.

Soalnya, kenapa bekerjasama dengan UMNO setelah parti itu hilang kuasa?

Mengapa juga sedia menerima Najib ketika bekas Perdana Menteri itu masih lagi bersama dengan UMNO?

Apakah perjuangan Pas sekarang untuk menyelamatkan UMNO dan bukan lagi untuk menggantikan UMNO?

Dalam konteks yang lain, Pas juga seharusnya ada fokus lain yang lebih baik daripada berbaik-baik, bekerjasama dan dilihat seperti mahu menyelamatkan UMNO.

Berbanding UMNO yang hanya ada Pahang dan Perlis untuk ditadbir, Pas sebaliknya mempunyai Kelantan dan Terengganu yang lebih baik kedudukannya untuk dibangun dan diberi perhatian sesuai dengan perjuangannya.

Bukankah sebenarnya lebih menguntungkan jika Pas menjalin kerjasama lebih erat dengan Pakatan Harapan dan dalam masa yang sama dapat membangunkan Kelantan serta Terengganu dengan lebih berkesan lagi?

Untuk apa berbaik-baik dengan UMNO yang sudah hilang kuasa dan Najib yang bakal ke penjara serta merisikokan Kelantan dan Terengganu yang mungkin nantinya terbiar tanpa pembangunan yang sewajarnya?

Dalam jangka panjang pula, tidakkah juga Pas akan lebih baik masa depannya jika UMNO dibiarkan ‘mati’ begitu saja?

Apa muslihat Pas yang seperti bersungguh-sungguh mahu memberi nyawa dan menghidupkan kembali UMNO ketika ini?

Apakah ia kerana dendam Hadi Awang kepada Amanah? (ShahbudinHusin 26/08/2018)

Kongsikan artikel ini
No tags for this post.
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm

Leave a Reply

avatar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

  Subscribe  
Notify of