BENARKAH JOHARI ABDUL AKAN GANTI MUKHRIZ JIKA ANWAR JADI PERDANA MENTERI?

Saya terpanggil untuk mengulas laporan berita yang memetik kenyataan Yang Berhormat Dato’ Johari Abdul, Ahli Parlimen Sungai Petani, siaran portal berita Malaysiakini hari ini.
 
Berita yang dirujuk ditulis oleh wartawan Susan Loone, bertajuk “I can do Wonders if Anwar Ibrahim is PM, says Johari Abdul “.
 
Saya tafsir kenyataan ini seperti berikut :
 
1. Terdapat gerakan untuk menyegerakan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
 
2. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri, maka akan berlaku rombakan Menteri Besar dan Exco dalam Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Kedah.
 
3. YB Dato’ Johari Abdul selaku Ahli Parlimen Sg Petani yang menawarkan kerusinya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diberi imbuhan dengan melantik beliau sebagai Menteri Besar Kedah.
 
Saya ingin mengingat Yang Berhormat Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gurun akan adanya PERJANJIAN PAKATAN HARAPAN sebelum Pilihanraya Umum Ke-14 bahawa semua parti telah diagihkan negeri untuk dipimpin antara parti komponen Pakatan Harapan.
 
Telahpun disepakati bahawa Kedah, Perlis, Perak dan Johor diberikan pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diberikan Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. 

Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak diserahkan kepada Democratic Action Party (DAP) manakala Parti Amanah Negara (Amanah) diberikan Kelantan, Terengganu dan Melaka.
 
Perjanjian ini telah termeterai. Kenapa dengan tiba-tiba Yang Berhormat Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga ADUN Gurun mahu merampas kerusi Menteri Besar Kedah dari BERSATU? 

Tidak wajar beliau membuat kenyataan sedemikian.
 
Malah, paling mengejutkan beliau mengatakan beliau boleh buat “Wonders in Kedah”  (Melakukan Sesuatu Yang Menakjubkan di Kedah).

“Apakah yang menakjubkan itu?” 

Kedah bukan negeri kaya seperti Selangor atau Pulau Pinang. Untuk bercakap memang mudah tetapi untuk laksana, amat sukar.
 
Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, semasa dilantik kali pertama sebagai Menteri Besar pada tahun 2013 telah membuat rancangan yang rapi untuk membangun Negeri Kedah tapi malangnya beliau dipecat setelah dua tahun di jawatan itu. 

Sekarang beliau terpaksa menghidupkan semula rancangan untuk membangunkan Kedah dari awal  dengan pelbagai masalah dan cabaran yang perlu dihadapi.
 
Saya amat berharap YB Dato’ Johari Abdul tidak akan mengambil kesempatan dari pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan nanti seperti yang telahpun disepakati oleh pimpinan Pakatan Harapan untuk kepentingan peribadi tanpa mengendahkan sama sekali sentimen rakyat dan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.
 
Saya juga ingin menasihati sahabat lama yang saya hormati. Hentikan polimik ini terutama semasa musim pertandingan dalam PKR. Ia tidak akan menguntungkan Pakatan Harapan. 

Marilah kita berkerjasama dan bersepakat untuk membina Malaysia Baharu, negara kita yang lebih baik, makmur dan sejahtera. 
Terima kasih.
 
 
Ikhlas,
Mejar Anuar Abdul Hamid (B)
Timbalan Ketua Badan Perhubungan Bersatu Negeri Kedah.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Updated: 26 March 2019 — 2:07 pm
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments