Berikutan artikel yang saya tulis dua hari lalu yang bertajuk “Memang Patut Najib Berasa Kecewa”, beberapa rakan menghubungi saya untuk turut berkongsi rasa simpati dan kasihan terhadap apa yang berlaku kepada bekas Perdana Menteri itu.
Selain bersetuju bahawa Najib sudah dipinggirkan UMNO untuk membela nasibnya, mereka kemudian bertanya, apa yang patut bekas Presiden UMNO itu lakukan sekarang ini?
Sejujurnya semua orang yang boleh berfikir dengan waras dapat melihat jalan pengharapan untuk Najib sudah tertutup rapat sekarang ini.
Tiada harapan lagi buat Najib untuk bersandar harapan, bukan saja terhadap kerajaan, tetapi juga kepada UMNO yang merupakan sebahagian daripada kerajaan.
Bayangkan, di ketika Peguam Negara membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengesahkan titah adendum itu wujud di mana akhirnya Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan tersebut, hanya pemimpin MCA yang berani menyuarakan kekesalan.
Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun (jantinanya wanita) mempersoalkan sama ada keputusan Peguam Negara merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu satu perbuatan biadap dan derhaka kepada Raja?
Ini kerana katanya, pada 4 Januari lalu Istana Pahang telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah menitahkan supaya Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Sepatutnya, apabila Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan bersandarkan surat daripada Istana Pahang itu, tiada keperluan lagi untuk Peguam Negara mengemukakan rayuan, tambahan lagi mereka juga tidak mengemukakan apa-apa cabaran ketika pendengaran dijalankan di Mahkamah Rayuan.
Soalnya di mana suara pemimpin lelaki yang gagah perkasa dalam UMNO?
Untuk itu, Najib tidak perlu menunggu lebih lama lagi dan harus membuat satu keputusan berani yang segera iaitu mengisytiharkan dirinya keluar daripada UMNO.
Serentak dengan keluar UMNO itu, Najib seterusnya juga mesti meminta UMNO agar tidak lagi mengulang-ulang rasa simpati kepadanya setiap kali Perhimpunan Agung UMNO diadakan.
Cukuplah setakat ini saja beliau diberi rasa simpati palsu dan dijadikan bahan untuk pemimpin UMNO mengalirkan airmata setiap kali PAU diadakan.
Hakikatnya, UMNO memperjuangkan nasib Najib hanya setahun sekali saja iaitu ketika berlangsungnya PAU di Dewan Merdeka, WTCKL.
Selelebihnya, UMNO hanya memikirkan keselesaan hidup mereka dalam kerajaan dengan menggandingkan diri bersama kekuatan DAP yang memegang paling banyak kerusi Parlimen dalam PH.
Selepas keluar UMNO, Najib seterusnya perlu memberi sokongan kepada PN, khususnya Pas agar parti itu memenangi lebih banyak kerusi dan berjaya menubuhkan kerajaan selepas PRU16 akan datang.
Selain dipercayai Najib akan beroleh perbicaraan yang lebih adil dalam kes perbicaraan yang masih berjalan, adalah amat diyakini juga perintah yang terkandung melalui titah adendum Agong ke-16 akan dilaksanakan tanpa banyak soal oleh kerajaan baharu nanti.
Sebagai parti Islam, disamping memperjuangkan keadilan, Pas juga adalah parti yang sentiasa mendaulatkan kedudukan Raja-Raja serta taat kepada segala titah perintah Istana.
Kalau saya jadi Najib, inilah yang saya akan lakukan tanpa menunggu tiga Jumaat akan datang. – ShahbudinHusin 01Mei2025.
Leave a Reply