Kerajaan Terengganu melarang penjualan produk rokok elektronik atau ‘vape’ di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri itu, mulai 1 Ogos.
Keputusan ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi membendung penjualan dan penggunaan produk rokok elektronik, “yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda”.
“Mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan perniagaan ketika larangan ini sedang dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan,” menurut kenyataan.
Antara tindakan akan diambil adalah kompaun dan sitaan barang vape yang dijual, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatannya, Wan Sukairi Wan Abdullah.
“Sekiranya pengusaha masih lagi meneruskan perniagaan, tindakan pendakwaan selanjutnya akan diambil ke mahkamah,” tambahnya.
Larangan ini diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam.
Perkembangan ini menyusuli saranan polis pada 17 Apr lalu, agar kerajaan negeri mengenakan larangan tertentu berkenaan penjualan rokok elektronik kerana kes penyalahgunaan dadah sintetik menggunakan rokok elektronik semakin membimbangkan.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay juga dilapor berkata Terengganu mencatatkan kes penyalahgunaan dadah kedua tertinggi di Malaysia, dengan 914 kes dalam setiap 100,000 penduduk.
Seiring perkembangan ini, kerajaan Terengganu mengumumkan Yayasan Pembangunan Usahawan akan menawarkan kursus keusahawanan serta peluang perniagaan bagi membantu pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas beralih ke sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat.
Dasar tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik turut dikekalkan, mankala syarat-syarat lesen akan diperkemas bagi memastikan larangan dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri memutuskan untuk tidak terima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi program atau acara anjuran kerajaan, termasuk mengadakan pengiklanan produk vape.
Tempoh lanjutan dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum penguatkuasaan larangan ini dilaksanakan sepenuhnya, termasuk penguatkuasaan terhadap papan-papan iklan berkaitan perniagaan vape.
“Kerajaan negeri menyeru semua pihak untuk memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan dasar ini demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan Terengganu yang lebih sihat dan sejahtera,” katanya.
Leave a Reply