Shahbudin…

Berbicara Tentang Hitam Putih Malaysia

MENARIK SUBSIDI MINYAK SEPATUTNYA MENJADI PILIHAN TERAKHIR ANWAR

Tiga hari lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedia berdepan gelora daripada rakyat berikutan penarikan subsidi petrol Ron95 yang bermula  pada pertengahan tahun depan.

Beliau mengakui dasar sensitif itu berkemungkinan akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila ia mula dikuatkuasakan.

“Ia adalah keputusan sekali dalam satu generasi yang memberi kesan kepada kehidupan semua orang.

“Harapan saya, dan tanggungjawab kita dalam kerajaan, adalah untuk memastikan kita menguruskan perkara ini dengan betul supaya perubahaan dasar ini mampan,” kata Rafizi sambil mengakui bahawa inflasi adalah kebimbangan terbesar kerajaan berikutan penarikan subsidi petrol itu nanti.

Dua perkara yang jelas dibimbangi Rafizi ialah tidak puas hari rakyat dan tekanan inflasi dan ini tidak dinafikan akan mencetuskan gelora dalam politik negara.

Kenapa agaknya Rafizi berkata demikian, walaupun dikatakan hanya kelompok T15 atau 15 peratus rakyat saja yang terkesan dengan penarikan subsidi petrol itu, manakala 85 peratus lagi iaitu golongan M40 dan B40 masih boleh terus menikmati subsidi sedia ada.

Pertamanya, dengan penarikan subsidi Ron95 nanti bermakna lengkaplah sudah janji menurunkan harga minyak yang menjadi simbol perjuangan Anwar Ibrahim selama ini telah dimungkiri sepenuhnya.

Bermula tahun depan, subsidi petrol Ron95 akan mula ditarik, manakala sebelum ini subsidi diesel telah pun lebih dulu ditarik subsidinya.

Makna kata slogan – menang hari ini, esok turun harga minyak…telah bertukar menjadi – menang hari ini, tahun depan kita naikkan harga minyak!!

Yaa beda beduuuu…

Maka itu, wajar sebenarnya untuk Rafizi bimbang tentang gelora penolakan daripada rakyat berhubung langkah kerajaan itu.

Walaupun penarikan subsidi untuk golongan T15 secara umumnya agak boleh diterima, tetapi ketika Anwar berjanji dulu, selain ia bermaksud harga minyak akan diturunkan jika beliau berjaya menjadi Perdana Menteri, bahkan tidak pernah disebut ada diskriminasi antara golongan mahakaya (T15) dengan golongan sederhana dan marhaen (M40 dan B40).

Ertinya, penurunan harga minyak yang dijanjikan itu adalah meliputi semua golongan dan semua rakyat tanpa mengira kelas kedudukan.

Apa yang berlaku kini adalah kontras sepenuhnya dengan janji yang diungkapkan dahulu di mana selain golongan T15 akan ditarik subsidi ketika membeli Ron95, manakala golongan M40 dan B40 pula tetap menerima subsidi seperti sedia ada.

Bermakna dalam hal ini, golongan M40 dan B40 langsung tidak menerima penurunan harga minyak sepertimana yang pernah dijanji beribu kali oleh Anwar sendiri dengan kali terakhir beliau berjanji sedemikian pada 2022 saja sebelum ini.

Apa yang golongan M40 dan B40 terima ialah harga minyak yang kekal sepertimana sekarang ini.

Alasan seperti diucapkan Anwar dalam ucapan Belanjawan 2025 bahawa harga minyak negara kita masih dikira lebih rendah ketimbang di Thailand, Indonesia dan Singapura sebenarnya sudah lama tertolak jika kita masih ingat ucapan-ucapan beliau sebelum ini yang mengatakan negara-negara tersebut bukan pengeluar minyak.

“Kita negara pengeluar minyak, nak buat perbandingan mesti dengan negara pengeluar minyak juga seperti Brunei, Qatar, Arab Saudi dan Nigeria,” demikian di antara petikan ucapan beliau yang kini sudah menjadi nostalgia hiba kepada rakyat yang negara ini.

Pendek cerita, bukanlah tidak boleh langsung kerajaan menaikkan harga minyak, tetapi di bawah Anwar yang beribu kali berjanji mahu menurunkan harga minyak sehingga dulu ada yang menggelar beliau Bapa Penurunan Harga Minyak, menarik balik subsidi Ron95, malah termasuk diesel, sepatutnya mesti menjadi pilihan terakhir sekali.

Ini tidak, belum sampai dua tahun ia sudah pun dijadikan dasar dan pendekatan.

Sama ada besar atau kecil gelora yang berlaku pada tahun depan, sama-samalah kita tunggu, namun yang pasti janji pemimpin yang sama pada PRU16 akan datang tidak mungkin akan dipercayai lagi.

Kalau hutang wajib dibayar, janji pula mesti ditepati. – ShahbudinHusin 24Oktober2024.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

1 Comment
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
UMNOMADANI
UMNOMADANI
24 October 2024 12:13 pm

YUSOF DEKIC SASAR DPT SILVER. X MAIN TARIK2

1
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x