Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin nampaknya tidak pernah berputus asa menegur menteri-menteri yang lemah dan tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan hati.
Untuk kesekian kalinya, beliau dalam teguran terbarunya menggesa menteri-menteri terbabit agar meletakkan jawatan secara sukarela.
Katanya, walaupun baru setahun memegang jawatan dalam kerajaan, tempoh itu sebenarnya cukup lama bagi rakyat yang mengharapkan hasil daripada khidmat mereka sebagai menteri.
Tambah beliau, dalam setahun ada 12 bulan, 52 minggu atau 365 hari dan ia cukup bagi rakyat mengharapkan ada perubahan atau pembaikan setelah mengundi parti yang menjadi kerajaan.
Kadir nampaknya terus dan tidak jemu menegur, malah meminta menteri-menteri meletakkan jawatan secara sukarela, meskipun baru-baru ini Tun Mahathir Mohamad menegaskan tiada rombakan kabinet akan dilakukan.
Tun Mahathir yang memberi markah 50 daripada 100 terhadap menteri-menteri yang walaupun masih baru serta tiada pengalaman seterusnya mengatakan mereka perlu diberi lebih masa untuk menjadi lebih baik lagi.
Terlihat di sini, di sebalik beberapa kali memberi teguran dan Tun Mahathir akhirnya mengatakan tiada rombakan kabinet akan dilakukan, Kadir jelas tidak berpuas hati dengan perkara itu.
Dengan meminta menteri meletakkan jawatan secara sukarela, Kadir selaku Penasihat Media dan Komunikasi kepada Perdana Menteri sepertinya tidak setuju dengan pendirian Tun Mahathir yang merupakan bossnya dan juga Perdana Menteri.
Dengan itu, beliau mengalihkan sasarannya kepada menteri-menteri pula agar sedar diri tentang diri mereka dan jika merasakan tidak menunjukkan prestasi yang baik, maka mereka hendaklah meletakkan jawatan secara sukarela.
Memang niat Kadir adalah baik demi kepentingan rakyat, tetapi siapakah menteri-menteri dengan gaji RM60 ribu hingga RM70 ribu sebulan, pelbagai kemudahan kehidupan dinikmati serta ke sana sini dengan penerbangan dan layanan kelas pertama, ada yang sedia berundur secara sukarela?
Tidak dinafikan terdapat beberapa menteri yang pernah meletakkan jawatan secara sukarela sebelum ini kerana prinsip seperti Zaid Ibrahim misalnya, namun adakah menteri-menteri sekarang sedia berbuat demikian, lebih-lebih lagi jika semata-mata kerana prestasi kerja mereka yang tidak memuaskan?
Siapa? Siapa? Siapa?
Dalam hal ini, sukar sebenarnya untuk mengharapkan menteri-menteri berundur secara sukarela dan hampir mustahil ada yang sedia secara sukarela untuk berundur.
Selagi boleh, mereka akan cuba bertahan di jawatan tersebut, termasuk dengan cuba melobi dan lebih kerap mencium tangan Perdana Menteri.
Ini kerana jawatan menteri adalah nikmat yang tak terperi sedapnya, terutama bagi mereka tidak pernah menjangka dapat merasainya dalam kehidupan.
Untuk itu, kaedah paling baik membuang menteri yang tidak bagus ialah melalui rombakan kabinet.
Perdana Menteri tidak harus berdalih atau takut merombak kabinet jika merasakan rakyat terasa sengsara, bukan saja dengan khidmat dan prestasi kerja, malah melalui kenyataan yang entah apa-apa atau menyakitkan hati yang selalu terpapar di media-media. (Shahbudindotcom 23/05/2019)