Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

MALAPETAKA TERUS MENIMPA BERSATU, HAMPIR 30 BAHAGIAN BUBAR

Beralihnya sokongan sejumlah besar Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Bersatu memberi kepada Hamzah Zainuddin sebaik pemecatannya adalah ibarat malapetaka tak terduga buat Muhyiddin Yassin.

Jika Muhyiddin dapat membaca lebih awal sokongan kepada Hamzah itu lebih besar daripada yang diterimanya, barangkali beliau tidak memecat bekas timbalannya itu.

Setidak-tidaknya mungkin beliau mencari cara lain terlebih dahulu atau memastikan sokongan benar-benar memihaknya kepadanya dan selepas itu barulah tindakan pecat itu diambil.

Bayangkan, Hamzah yang dipecat mendapat sokongan 19 Ahli Parlimen Bersatu, manakala yang menyokong Muhyiddin cuma 6 orang saja.

Bagi Ketua Bahagian pula, 118 daripada 168 memihak kepada Hamzah yang bererti hanya 50 bersama Muhyiddin.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah mana-mana parti yang bertindak memecat timbalannya, tetapi bekas pemimpin nombor dua yang dipecat mendapat lebih sokongan berbanding Presiden Bersatu yang masih memimpin parti dan memiliki kuasa memecat.

Biasanya Presiden yang masih mengetuai parti itulah yang patut mendapat sokongan majoriti.

Ini tidak, Hamzah yang dipecat mendapat sokongan majoriti, tetapi Muhyiddin yang memecat tinggal minoriti.

Sebab itu, setelah Hamzah dipecat, Bersatu tidak lagi berani memecat Ahli-Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian yang hadir dalam majlis anjuran Ketua Pembangkang yang diadakan di Rumah Kelab PAUM pada 14 Februari lalu.

Sepatutnya semua Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian yang hadir itu segera dipecat kerana mereka terang-terang melanggar disiplin parti dan menentang kepimpinan Muhyiddin secara terbuka.

Berbanding Hamzah yang kesalahannya agak kabur, Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian yang hadir di Rumah Kelab PAUM itu jauh lebih jelas dan dilihat dunia kesalahan disiplin mereka.

Adakah kerana baru disedari jumlah Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian yang bersama Muhyiddin hanya tinggal minoriti, maka tiada lagi tindakan pecat berani diambil?

Dalam pada itu, selain 118 daripada 168 Ketua Bahagian Bersatu kini menyokong Hamzah, perkembangan susulan yang berlaku sehari dua ini ibarat satu lagi malapetaka menimpa Muhyiddin.

Setakat ini, hampir 30 bahagian telah mengambil keputusan membubarkan jawatankuasa bahagian masing-masing kerana sudah hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin selaku Presiden Bersatu.

Daripada jumlah jawatankuasa bahagian yang dibubarkan itu, 11 daripadanya adalah di Johor, negeri kelahiran dan tempat bertapaknya politik Muhyiddin selama ini.

Maknanya, selain mengisytiharkan sokongan kepada Hamzah dan hilang kepercayaan kepada Muhyiddin, terdapat banyak bahagian yang mengambil tindakan membubarkan jawatankuasa masing-masing.

Difahamkan, ada lagi beberapa bahagian akan turut mengambil langkah pembubaran yang sama selepas ini.

Walaupun dengan pembubaran itu, ia boleh diganti oleh barisan kepimpinan lain yang dipilih oleh ibu pejabat Bersatu, tetapi ia tidak tumbuh sepantas cendawan selepas musim hujan.

Ia perlukan masa untuk mencari pemimpin yang berkebolehan dan sanggup memikul amanah, tambahan lagi Bersatu bukanlah seperti UMNO atau PAS yang ramai jumlah ahlinya dan tidak sukar mencari pemimpin pengganti yang berkelayakan serta boleh menggerakkan aktiviti.

Mahu tidak mahu, dengan pembubaran sejumlah  bahagian itu, itu tetap merencatkan kedudukan Bersatu, terutama jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini.

Realitinya, Bersatu kini tidak lagi bersatu, sebaliknya makin hari makin berpecah. – ShahbudinHusin 19Februari2026.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x