Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

19-6, HAMZAH SUDAH MENANG PUSINGAN PERTAMA!!

Dalam sejarah mana-mana parti politik, memecat pemimpin bukanlah perkara luar biasa.

Lumrahnya, pemimpin yang dipecat itu ialah mereka yang tidak sehaluan dengan ketua parti atau pemimpin yang berisiko membuatkan ketua parti kecundang jika berlaku pertandingan.

Maka, memecat ialah jalan mudah untuk ketua parti kekal menerajui parti.

‘Membunuh’ pesaing politik sebagaimana dilakukan Muhyiddin Yassin terhadap Hamzah Zainuddin sudah kerap berlaku dalam pelbagai parti sebelum ini.

Sejarah paling diingati berkaitan pemecatan pemimpin ialah bila mana Anwar Ibrahim yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO dipecat oleh Tun Mahathir Mohamad pada tahun 1998 dahulu.

Cuma, dalam semua sejarah pemecatan yang pernah berlaku sebelum ini, mereka yang memecat akan terus kukuh kedudukannya dan beroleh lebih banyak sokongan berbanding pemimpin yang dipecat.

Ini kerana, pemimpin yang ada kuasa memecat lebih ditakuti dan lebih dikerumuni penyokong berbanding pemimpin yang telah dipecat dan sudah kehilangan segala-galanya.

Tetapi, berbeza dalam kes Muhyiddin memecat Hamzah ini, sokongan yang diperolehi pemimpin yang  dipecat nampaknya lebih besar daripada pemimpin  yang ada kuasa memecat.

Dalam ‘roadshow’ pertama yang dilakukan Hamzah yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaysia (PAUM) semalam, terbukti beliau menerima lebih banyak sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen Bersatu berbanding Muhyiddin.

Daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu yang ada, setelah ditolak enam orang yang lebih awal mengalih sokongan kepada Anwar, 19 orang (termasuk Hamzah) telah hadir bersama-sama Ketua Pembangkang itu di Rumah Kelab PAUM.

Bermakna, jumlah Ahli Parlimen hang tinggal bersama Muhyiddin hanyalah enam orang saja.

Ertinya, lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu sekarang ini yang menyokong dan bersama Hamzah yang baru saja dipecat berbanding menyokong Muhyiddin yang menguasai parti serta masih ada kuasa untuk memecat.

Tidakkah ini pelik?

Bukankah ketua parti yang masih memimpin parti dan ada kuasa memecat sepatutnya lebih banyak menerima sokongan berbanding pemimpin yang telah dipecat?

Apakah Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang belum dipecat yang hadir dalam ‘roadshow’ Hamzah itu tidak takut bakal dipecat?

Nampaknya dengan lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu yang memihak kepadanya, Hamzah kini dikira telah menang pusingan pertama dalam pertarungan dengan  Muhyiddin sebaik saja beliau dipecat.

Itu baru  sekali ‘roadshow’ diadakannya?

Bagaimana jika lebih banyak lagi ‘roadshow’ digerakkan Hamzah selepas ini?

Bersama hanya enam Ahli Parlimen bersamanya,  Muhyiddin kini ternampak lebih kecil berbanding Mohamad Sabu yang mempunyai lapan Ahli Parlimen Amanah yang menyokongnya.

Persoalan utama kini, bersama enam Ahli Parlimen yang ada bersamanya, selain diiringi sejumlah lain yang turut meletakkan jawatan, mampukah Bersatu terus bertahan pada PRU16 akan datang? – ShahbudinHusin 15Februari2026.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x