Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

J/K KHAS PERLU SIASAT JUGA ASPEK ‘MAFIA KORPORAT’ DIKAITKAN SPRM – DAP

Jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan pegangan saham Azam Baki perlu menyiasat dakwaan pakatan sulit pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ahli perniagaan dalam pengambilalihan paksa syarikat pesaing, kata Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh.

Menurutnya, jawatankuasa itu berisiko dilabel “harimau tanpa taring” yang tidak mungkin mendedahkan maklumat lebih daripada versi peristiwa dinyatakan Azam kerana tiada kuasa mendapatkan dokumen atau memaksa saksi tampil memberi keterangan dan mungkin berakhir dengan kesimpulan terhad.

“Jawatankuasa itu berisiko dilabel tidak berkesan. (Laporannya mungkin) hampir sama dengan apa dilakukan Jawatankuasa Siasatan Bebas dalam kes tujuh pemain bola sepak warisan dikenakan larangan Fifa baru-baru ini atas pemalsuan dokumen,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengumuman pembentukan jawatankuasa itu hanya merujuk siasatan pemilikan saham Azam dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan seperti dilaporkan Bloomberg News.

Tetapi, bidang kuasa jawatankuasa itu nampaknya tidak termasuk siasatan ke atas dakwaan pakatan sulit SPRM dengan ahli perniagaan untuk memaksa pengambilalihan syarikat pesaing mereka, seperti dilaporkan Bloomberg.

“Tidak dapat dinafikan dakwaan (dalam laporan Bloomberg berasingan) sama serius dan mesti disiasat secara menyeluruh. Tiada sebab dakwaan itu tidak perlu disiasat jawatankuasa itu.”

Jelasnya, dakwaan pakatan sulit itu diterbitkan sehari sebelum Jemaah Menteri bermesyuarat untuk membincangkan isu pegangan saham.

Pembentukan jawatankuasa khas yang diumumkan semalam itu diketuai Peguam Negara, Dusuki Mokhtar dan dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican.

Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang 17.7 juta saham (1.7%) dalam Velocity Capital Bhd dan masih disenaraikan pemegang saham dalam rekod disimpan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Azam didakwa melanggar pekeliling kerajaan pada 2024 yang melarang penjawat awam membeli saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia lebih 5% daripada modal berbayar atau RM100,000 pada nilai pasaran semasa.

Azam dilaporkan berkata, beliau terbuka untuk siasatan kerana pegangan sahamnya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan sudah diisytiharkan sepenuhnya dan dilupuskan tahun lalu.

Peguamnya sudah menghantar surat tuntutan kepada Bloomberg berhubung laporannya dan menuntut ganti rugi RM100 juta. Bloomberg tetap mempertahankan laporannya.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/02/14/panel-siasat-azam-perlu-teliti-dakwaan-pakatan-sulit-kata-ahli-parlimen

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x