Ramai yang mula bertanya, siapa paling layak mengetuai PN setelah Muhyiddin Yassin meletak jawatan?
Beberapa rakan dan kenalan, sejak Muhyiddin mengumumkan perletakan jawatannya lagi, sudah mula bertanya soalan demikian.
Tanpa perlu berselindung dan ragu-ragu, pemimpin yang paling layak untuk mengetuai PN selepas pengunduran Muhyiddin ialah Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS.
Dengan mengetuai parti Melayu/Islam terbesar daripada segi jumlah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat ketika ini, kelayakan dan kemampuan beliau mengetuai PN tidak perlu diragui dan dipertikaikan lagi.
Berdasarkan ketokohannya dalam menerajui PAS selama ini, adalah diyakini beliau mampu memimpin PN ke arah yang lebih cemerlang lagi.
Jika PAS di bawah pimpinannya berjaya memenangi 43 kerusi Parlimen (jumlah terbanyak berbanding semua parti lain), menguasai Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis serta makin diterima di lain-lain negeri, tidak ada sebab kemampuan Hadi harus diragui.
Malah, dengan Haji Hadi mengetuai PN, sosek-sosek di belakang mempertikaikan kemampuan dan kewibawaan peneraju gabungan itu sebagaimana sebelum ini dapat lebih diminimakan.
Ini kerana Haji Hadi tiada tiada isu peribadi dan tiada beban persepsi yang dipikulnya yang boleh menyusahkan PN.
Kita tentunya boleh memahami faktor kesihatan yang dialami Haji Hadi, tetapi dengan menerajui PN, ia tidak memaksa beliau perlu bergerak ke sana sini sepanjang masa.
Hal itu boleh dilakukan oleh para pemimpin lain yang berada dalam PN.
Yang lebih penting ialah keberadaannya menerajui PN boleh dianggap sebagai simbol imej Melayu/Islam yang mampu merangsang lebih lagi kebangkitan rakyat untuk menyokong gabungan itu.
Lagi pun dengan sentimen rakyat yang makin menurun terhadap kerajaan, terutama keinginan untuk menolak DAP daripada terus berkuasa, Haji Hadi adalah sosok yang paling layak untuk mengepalai perubahan.
Suara, hujah dan dalilnya dengan mudah dapat difahami dan diterima.
Bagi pengundi bukan Melayu, mereka tidak perlu bimbang dengan Haji Hadi jika beliau mengetuai PN nanti.
Mereka boleh lihat dan saksikan sendiri bagaimana pengundi bukan Melayu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (negeri ini baru saja berubah terajunya) yang langsung tidak terganggu kehidupan mereka di bawah pentadbiran PAS yang diketuai Haji Hadi.
Namun demikian, jika kerana keuzurannya itu Haji Hadi enggan untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, perkara itu tiada masalah untuk difahami dan PN pun tidak ketandusan pemimpin yang berkelayakan untuk diketengahkan – baik daripada PAS mahu pun Bersatu.
Ertinya Haji Hadi hanya perlu menerajui PN untuk beroleh kemenangan, tetapi siapa yang akan menjadi Perdana Menteri adalah tokoh lain yang dipersetujui oleh gabungan itu secara bersama.
Haji Hadi, selepas PN berkuasa pula, boleh dilantik sebagai penasihat kerajaan bagi memastikan pentadbiran baru nanti sentiasa mengutamakan kepentingan Melayu dan Islam sebagai teras kewujudan negara ini, selain tidak mengabaikan hak serta kepentingan kaum-kaum lain.
Keadaan itu dengan sendirinya akan menjadikan PN lebih diyakini dalam mentadbir negara kerana kuasa tidak tertumpu kepada sosok seorang Perdana Menteri semata-mata.. – ShahbudinHusin 01Januari2026.
Leave a Reply