Selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN, beberapa perletakan jawatan lain turut menyusul.
Antaranya setakat ini ialah Azmin Ali (letak jawatan Setiausaha Agung PN dan Pengerusi PN Selangor, Dr Sahrudin Jamal (letak jawatan Pengerusi PN Johor), Ahmad Faizal Azumu atau Peja (letak jawatan Pengerusi PN Perak), Mohamad Hanifah Abu Baker (letak jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan) dan Jaziri Alkaf Abdillah Suffian (letak jawatan Pengerusi PN Sarawak).
Tidak mustahil selepas ada lagi beberapa pemimpin Bersatu akan turut meletak jawatan masing-masing dalam PN.
Namun begitu, semua yang meletakkan jawatan itu masih kekal dengan jawatan utama mereka di dalam Bersatu.
Sementara mungkin ramai yang bertanya apa jadi kepada PN selepas ini jika siri perletakan jawatan terus berlaku, tetapi yang paling menarik sebenarnya ialah ke mana hala tuju Bersatu selepas seorang demi seorang pemimpinnya berundur daripada PN?
Apakah Bersatu akan terus kekal bersama gabungan itu atau parti itu akan keluar daripada PN?
Jika keluar PN pula, ke mana arah Bersatu seterusnya – bergerak solo atau mula mendekati kerajaan madani?
Dalam beberapa perbualan dengan rakan-rakan, ramai yang tidak percaya Bersatu akan bersama kerajaan madani lantaran kerana ada DAP di dalamnya.
Kata mereka, Muhyiddin tidak mungkin sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan yang ada DAP di dalamnya, bahkan pernah menolaknya sebaik keputusan PRU15 lalu.
Tetapi jika kita melihat bagaimana UMNO boleh berbaik dan bekerjasama dengan DAP, meski puluhan tahun bermusuh dan ada ketetapan menolak parti itu, maka tidak mustahil Bersatu juga mungkin melakukan hal yang sama.
Lagi pula, untuk kelangsungan hidupnya dalam politik negara ini, Bersatu tidak mampu bergerak bersendirian.
Selain ia bukan parti yang cukup besar seperti UMNO atau PAS, kedudukan Bersatu di peringkat akar umbi masih dikira lemah dengan jumlah cawangan yang terhad yang menyebabkannya sukar menyediakan jentera ketika ada pilihan raya.
PKR pula, selain ia turut mempunyai jentera akar umbi yang boleh dikira kuat juga, kelebihan parti itu kini ialah kerana mengetuai kerajaan madani ketika ini.
Untuk itu, Bersatu hampir mustahil akan bergerak solo dalam laluan masa depannya selepas Muhyiddin tidak lagi mengetuai PN.
Pilihannya sama ada terus kekal dalam PN, meskipun setelah gabungan itu selepas ini mungkin dketuai PAS atau Bersatu cuba mendekati PKR/PH dan kerajaan madani.
Tambahan ini, jika menjadi kenyataan UMNO keluar kerajaan selepas ini, kehadiran Bersatu untuk mendampingi PH dan madani tentu saja sesuatu yang amat dialu-alukan.
Ertinya jika PH dan madani kehilangan UMNO berikutan kemarahan dalam parti Melayu itu yang makin membuak terhadap DAP serta keinginannya untuk memperjuangkan pembebasan Najib Razak dengan lebih berkesan, Bersatu boleh menjadi pengganti kehilangan tersebut.
Bagi UMNO, apabila ia keluar kerajaan, pilihan yang menantinya tidak lain ialah berbaik semula dengan PAS melalui Muafakat Nasional.
Dalam hal mendekatkan Bersatu dengan PKR/PH, Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali yang diketahui semua pernah mempunyai hubungan rapat dengan Anwar Ibrahim tentu saja boleh berperanan untuk berbuat demikian?
Anda rasa mustahil? – ShahbudinHusin 31Disember2025.
Leave a Reply