Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis sudah menyerahkan notis pengosongan tiga kerusi DUN kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Speaker DUN, Rus’sele Eizan mengesahkan, serahan notis pengosongan kerusi itu kepada SPR Perlis membabitkan kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping yang mana ketiga-tiga kerusi berkenaan dimenangi PAS sebelum ini.
Serahan notis pengosongan kerusi itu dilaksanakan sekitar jam 12 tengahari hari ini (29 Disember) dan diserahkan kepada Pengarah SPR Perlis, Siti Rahayu Ahmad Rusli di Pejabat SPR Perlis.
Katanya, pemakluman kekosongan itu adalah bagi memohon pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi memilih semula wakil rakyat di ketiga-tiga kawasan berkenaan.
“Permohonan PRK ini akan tertakluk kepada SPR yang akan meneliti kesesuaiannya kemudian dan terserah kepada mereka untuk menentukannya,” katanya.
Kerusi DUN Bintong, DUN Guar Sanji dan DUN Chuping diumumkan kosong oleh Rus’sele selepas tiga wakil rakyatnya iaitu Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) dan Saad Seman (Chuping) dihentikan keahlian mereka daripada PAS kerana bersekongkol dengan lima Adun Bersatu dalam menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, PRK hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pemakluman rasmi diterima oleh SPR.
Pada PRU15 lepas, PAS menang dengan cemerlang di ketiga-tiga kerusi berkenaan iaitu di Bintong dengan majoriti 4,329 undi, di Guar Sanji dengan majoriti 5,101 undi dan di Chuping dengan 2,420 undi.

Ini bermakna jika diadakan PRK, peluang PAS melalui calon baru yang tentunya mempunyai kesetiaan kepada parti untuk mengekalkan kemenangan adalah di ketiga-tiga kerusi adalah amat tinggi.
Kiranya keadaan itu berlaku, jumlah Adun PAS di DUN Perlis kembali kepada sembilan orang, manakala Bersatu kekal lima dan PH tetap satu.

Jumlah kerusi DUN di Perlis ialah sebanyak 15.
Dalam keadaan sebegitu, berapa lama Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu mampu bertahan sebagai Menteri Besar?
Mungkinkah nanti beliau akan dijatuhkan melalui undi tidak percaya dan kerusi Menteri Besar akan jatuh semula kepada PAS?
Adakah akhirnya Abu Bakar akan mencatat rekod sebagai Menteri Besar paling singkat tempoh perkhidmatannya? – ShahbudinHusin 29Disember2025.
Leave a Reply