MCA menyambut ‘pelawaan’ PAS sekali gus setuju berdialog bagi mengetahui lebih mendalam dasar parti itu termasuk terhadap bukan Islam.
Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong, berkata apa lebih penting pendekatan dilakukan PAS untuk meyakinkan bukan Islam khususnya masyarakat Cina menerima ideologinya.
“Memang kita tidak menolak untuk berdialog atau berbincang dengan mana-mana parti termasuk PAS, tapi kena jelas kita berdialog kalau setakat nak mengetahui dan memahami perjuangan PAS dengan lebih baik, bagi kami tak ada masalah.
“Tapi apa yang lebih penting bagaimana PAS nak meyakinkan dan membuktikan kepada bukan Melayu bahawa mereka mesra semua, dan perjuangan lebih sederhana,” katanya kepada FMT.
Semalam, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata pihaknya sedia berdialog dengan MCA bagi menjernihkan kekeliruan berhubung pendirian dan dasar parti itu, selepas ia menolak kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Ia menyusul susulan kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong, yang mengakui ada cadangan menyertai PN, namun was-was dengan PAS kecuali parti itu membuat pembaharuan menjadi parti lebih sederhana.
Wee dilaporkan berkata, MCA akan menilai semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika Umno terus bekerjasama dengan parti luar termasuk Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya sedia menghantar undangan rasmi kepada MCA untuk kedua-dua parti berdialog secara harmoni.
Leave a Reply