Kerajaan Terengganu berhak dan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas FELDA berikutan kegagalan menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said berkata, tanah seluas kira-kira 15,000 hektar diusahakan dengan ladang kelapa sawit oleh FGV tidak mematuhi syarat, terutama tidak memasukkan peneroka.
Katanya, tanah diterokai masing-masing di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun itu adalah hak milik kerajaan negeri selagi tidak ditukar hak milik kepada FELDA.
“Kita mengakui pengurusan tertinggi FELDA ada membayar premium dan cukai tanah sekitar 2009, tetapi kita pulangkan semula disebabkan kegagalan memenuhi syarat terutama memasukkan peneroka.
“Kita memberi syarat utama iaitu FELDA perlu memasukkan peneroka melebihi 3,000 bagi menyelesaikan masalah kemiskinan tegar rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad mengulas isu kerajaan negeri mengeluarkan notis pencerobohan tanah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965.
Notis larangan pencerobohan tanah itu dipasang serentak di 10 kawasan iaitu di daerah Marang, Setiu, Kemaman dan Dungun Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim dilaporkan berkata, tindakan itu diambil selepas FELDA gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30 peratus tanah milik kerajaan negeri diterokai sejak 40 tahun lalu.
Pada Persidangan Dewan Undangan negeri (DUN) November lalu, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Jabi memaklumkan, FELDA gagal menjelaskan bayaran hasil keuntungan dianggarkan kira-kira RM600 juta termasuk cukai, premium dan keuntungan perkongsian, selepas meneroka tanah sejak 40 tahun lalu.
Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Kemaman mengakui isu itu pernah dibangkitkan pada Persidangan DUN pada Ogos 2010.
“Kita mengakui menjelaskan kepada ahli dewan bahawa FELDA menjalankan pembangunan secara haram, walaupun kerajaan negeri tidak memperolehi premium tanah, cukai tahunan dan hasil.
“Kita pernah mengeluarkan ketegasan pemberian geran hak milik hanya akan dikeluarkan jika FELDA memasukkan peneroka sebagai memenuhi syarat iaitu membayar perkongsian keuntungan atau menyumbang kepada Program Basmi Kemiskinan,” katanya.
Ahmad turut mengakui ada mengeluarkan syarat tambahan selepas pengurusan FELDA mengemukakan rayuan berikutan kerugian dialami.
Katanya, antara syarat tambahan dicadangkan kerajaan negeri adalah FELDA perlu memberi peluang kepada anak syarikat kerajaan sebagai pemegang saham.
“Setakat ini, kita tidak mendapatkan maklumat jumlah anak syarikat kerajaan negeri yang ditawarkan saham oleh FELDA,” katanya.
Mengenai tindakan kerajaan negeri termasuk mengeluarkan notis pencerobohan, Ahmad berkata, selagi FELDA tidak mendapat geran, tanah itu adalah hak milik kerajaan negeri.
Leave a Reply