Beberapa minggu sebelum ini, selepas secara kebetulan Khairy Jamaluddin terjumpa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah majlis perkahwinan, terus tersebar perkhabaran beliau bakal kembali kepada UMNO serta dikatakan akan menyertai kabinet kerajaan madani.
Kemudian, apabila Zahid Hamidi menjelaskan tiada apa-apa perbincangan berkaitan politik antaranya dengan KJ dalam pertemuan di majlis perkahwinan itu, timbul pula cerita kononnya bekas Ketua Pemuda UMNO itu ditolak oleh UMNO.
Khabar lain yang didengar ialah KJ dikhabarkan masih tidak menulis apa-apa surat rayuan kepada UMNO dan dengan itu menyebabkan soal kemasukan semulanya tidak dapat dibincangkan dalam MT UMNO.
Susulan itu, KJ seterusnya diberitakan akan menyertai PKR untuk membolehkannya dilantik sebagai menteri dalam rombakan kabinet yang bakal dilakukan Perdana Menteri selepas PRN Sabah nanti.
Dua hari lalu, dalam kehangatan kempen PRN Sabah, KJ tidak ketinggalan turun berkempen di beberapa kawasan di mana kenalannya bertanding.
Daripada empat kawasan yang beliau diberitakan turun berkempen itu – dua kawasan ditandingi calon PKR dan masing-masing satu kawasan ditandingi BN dan GRS.
Dengan itu, sekali lagi timbul pertanyaan, adakah ini petanda beliau benar-benar akan menyertai PKR dan menjadi menteri semula dalam waktu terdekat ini?
Apatah lagi, dalam kempennya, KJ juga dilihat memuji Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri yang paling banyak memberi peruntukan kepada Sabah, selain berjaya menunaikan sejumlah besar perjanjian MA63.
Ramai rakan dan kenalan bertanya perkara tersebut, bukan saja daripada kalangan orang UMNO serta PKR, tetapi juga daripada kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan dan orang kebanyakan.
Sementara semuanya mengakui KJ memang seorang pemimpin yang berbakat dan berkebolehan sebagai menteri, tetapi rata-rata tidak setuju jika beliau menyertai PKR.
Kata mereka, PKR bukan tapak yang kukuh untuk KJ meneruskan karier politiknya, meskipun mungkin ia merupakan laluan mudah untuk menjadi menteri dalam waktu terdekat ini.
Kebimbangan utama mereka ialah tiada jaminan yang kukuh PKR akan kekal lagi sebagai kerajaan selepas PRU16 akan datang, bahkan masa depan parti itu juga mungkin lebih kabur selepas ketiadaan Anwar kelak.
Sekarang ini pun, di sebalik khabar angin beliau akan menyertai PKR, ramai juga orang PKR yang tidak mengalu-alukan kemasukannya.
Ia berbeza dengan UMNO, meskipun parti itu turut tidak menentu masa depannya dengan makin banyak kalah bertanding dalam beberapa PRU kebelakangan ini, tetapi kelebihan UMNO ialah ia merupakan parti yang mempunyai βbaseβ yang kukuh.
Dengan asas kukuh yang dimilikinya, selain nilai sejarahnya, ia tidak mudah tenggelam walau dibadai apa jua gelombang.
Dengan itu, diyakini bahawa walaupun UMNO mungkin tidak menang banyak kerusi pada PRU16 akan datang atau PRU-PRU selepas ini, namun parti itu diyakini tetap jadi rebutan untuk diajak bagi membentuk kerajaan.
Tambahan lagi, kepimpinan UMNO sekarang – daripada Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presidennya – semuanya adalah pemimpin tua yang sudah melepasi usia pencen belaka.
Maka , KJ dilihat ada masa depan yang lebih cerah untuk menerajui UMNO dalam sedikit masa lagi dan hanya perlu bersabar sedikit.
Sehubungan itu, KJ lebih dirasakan sesuai serta perlu kembali kepada UMNO dan membina kembali kerjayanya melalui parti itu. – ShahbudinHusin 28November2025.
Leave a Reply