Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC hari ini sebulat suara bersetuju meluluskan usul untuk parti itu keluar dari Barisan Nasional (BN).
Dengan keputusan itu ia dengan sendirinya membuka jalan bagi MIC untuk memohon secara rasmi menyertai PN.
Astro Awani memetik Timbalan Presiden MIC, M Saravanan sebagai berkata, penyertaan ke dalam PN adalah bertujuan membina sebuah platform baharu yang lebih inklusif, berprinsip serta memberi ruang lebih luas kepada suara masyarakat India di negara ini.
βKerjasama sedia ada tidak lagi memberi ruang yang mencukupi untuk MIC memainkan peranan yang efektif bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbangkan secara bermakna kepada pembangunan nasional.
βDengan ini Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) ke-79 MIC sebulat suara bersetuju untuk MIC bersedia untuk menamatkan penyertaan dalam gabungan BN,β demikian kata beliau sebagaimana dilaporkan portal berita berkenaqn.
Bagaimanapun, MIC difahamkan menangguhkan pengumuman keputusan tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada Presiden MIC, SA Vigneswaran serta jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti untuk membuat keputusan rasmi.
Adalah dipercayai keputusan itu diambil kerana mengambil kira kempen PRN Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.
Dijangkakan MIC akan mengumumkan keputusan rasmi keluar BN selepas 29 November depan iaitu sebaik saja PRN Sabah berakhir.
Saravanan juga dipetik berkata, keputusan keluar BN itu diambil setelah perbincangan yang mendalam dan teliti dalam kalangan ahli akar umbi, pimpinan peringkat bahagian, cawangan serta kepimpinan MIC negeri dan Pusat, pemegang jawatan serta perwakilan dari seluruh negara.
Walaupun pengumuman rasmi ditangguhkan dan diserahkan kepada Presiden MIC serra CWC memuktamadkannya, adalah tidak disangkal lagi bahawa perwakilan MIC secara sebulat suara telah bersetuju untuk parti itu keluar daripada BN.
Dengan itu, agak mustahil Presiden dan CWC nantinya akan membuat keputusan yang berbeza dengan kehendak perwakilan MIC.
Ertinya, keluar tetap keluar dan hanya pengumumannya yang ditangguhkan.
Secara prinsipnya, apabila perwwkilan setuju keluar BN, ia bermakna mereka sudah menolak BN dan MIC bukan lagi dikira anggota komponen BN bermula hari ini.
Apabila perwakilan MIC sebulat suara setuju parti itu keluar BN, tiada kuasa lain yang lebih tinggi dapat menghalangnya.
Jambangan bunga yang dihantar oleh Perdana Menteri pun tiada ertinya lagi.
Syabas dan tahniah kepada MIC kerana berani membuat keputusan yang penting untuk masa depan parti berkenaan serta untuk kepentingan masyarakat India.
Bersama keputusan MIC ini, jika keputusan PRN Sabah nanti menzahirkan sesuatu yang mengejutkan, tidak mustahil perubahan di peringkat pusat juga akan menyusul.
Sama-sama kita tunggu kejutan yang seterusnya. – ShahbudinHusin 16November2025.
Leave a Reply