
Kempen PRN Sabah bermula secara rasmi hari ini berikutan berakhirnya proses penamaan calon sebelum tengahari tadi.
Kesemua 73 kerusi DUN di negeri itu menyaksikan berlaku pertandingan dengan paling banyak ialah 14 penjuru iaitu di DUN Tulid.
Tiada pertandingan dua penjuru berlaku di mana paling sedikit berlaku pertembungan calon yang bertanding ialah 4 penjuru.
24 parti disahkan bertanding, termasuk calon-calon Bebas dan jumlah keseluruhan calon yang bertanding ialah seramai 596 orang.



Sementara Warisan mencatat rekod sebagai parti yang paling banyak meletakkan calon iaitu kesemua 73 kerusi, tetapi calon Bebas mencatatkan jumlah paling ramai sekali yang bertanding.
Dicatatkan seramai 74 calon Bebas bertanding pada PRN Sabah ke-17 kali ini.
Sekurang-kurangnya dua perkara menjadi tumpuan dan dinanti-nantikan pada PRN Sabah ini yang pengundiannya akan berlangsung pada 29 November depan:-
Pertama, parti manakah yang mampu memenangi paling banyak kerusi untuk menubuhkan kerajaan baharu nanti?
Mampukah mana-mana parti secara sendirian menang minima 37 kerusi bagi membolehkan mereka menubuhkan kerajaan secara sendirian atau apakah nanti akan berlaku penggabungan beberapa parti lantaran tiada yang mampu memenangi jumlah kerusi yang signifikan?
Berulang lagikah episod lompat-melompat parti selepas 29 November nanti?
Mampukah juga GRS yang sebelum ini merupakan kerajaan bersama PH mengekalkan kuasa mereka?
Ataukah Warisan lebih berpotensi menjadi kerajaan baharu?
Bagi UMNO dan BN pula, berpeluangkah mereka membuat kejutan dan kembali sebagai kerajaan?
Tumpuan kedua kali ini ialah sejauh manakah parti-parti lokal berjaya mendapat tempat di hati pengundi bersama slogan “Sabah For Sabahan” dan “Sabah First” yang agak menggegar sejak bahang PRN bermula?
Dalam ledakan gelombang “Sabah For Sabahan” dan “Sabah First” itu, apa pula nasib parti-parti daripada Semenanjung?
Paling dinantikan tentunya juga ialah berapakah jumlah kerusi yang bakal dimenangi oleh PKR/PH dan UMNO/BN kali ini?
Kemampuan memenangi kerusi oleh kedua-dua parti itu lebih menarik untuk dinanti kerana mereka adalah parti Semenanjung yang membentuk kerajaan di peringkat pusat.
Jika parti kerajaan seperti PKR dan UMNO tidak berjaya memenangi banyak kerusi, sebaliknya parti lokal yang tiada kaitan dengan parti Semenanjung lebih diberi sokongan, ia dengan jelas memperlihatkan isu-isu hak Sabah telah berjaya mempengaruhi sentimen pengundi.
Bergegar dan makin tegangkah hubungan Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu jika dominasi kerusi dimenangi parti-parti lokal?
Berbeza dengan parti Semenanjung lain seperti Bersatu dan Pas, ia tidak begitu menarik untuk ditunggu keputusannya kerana kedua-duanya bukan parti blok kerajaan.
Tidak menang banyak kerusi adalah lumrah, tetapi jika ada kejutan mampu berlaku, banyak perkara harus difikirkan selepas ini.
Yang pasti, tempoh dua minggu daripada sekarang iaitu sehingga hari pengundian pada 29 November akan datang, suhu politik Sabah akan terus panas, berapi-api dan menjadi kerugian jika diabaikan tumpuan. – ShahbudinHusin 15November2025.
Leave a Reply