Keseluruhan prestasi projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan pada tahun ini kurang memberangsangkan dan memerlukan lebih banyak penambahbaikan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata daripada jumlah peruntukan RM85.87 bilion membabitkan 9,524 projek, sebanyak RM64.03 bilion sudah dibelanjakan dengan purata nasional sebanyak 74.56 peratus.
“Daripada jumlah ini, hanya 16 kementerian sahaja yang berjaya melepasi tahap purata nasional. Justeru itu, saya meminta supaya setiap Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dapat mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK).
“Saya juga minta supaya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat melihat dan mengkaji semula kaedah pelaksanaan projek fizikal ini supaya dapat dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Shamsul Azri turut meminta penjawat awam untuk membuat persediaan rapi dalam membantu kerajaan yang kini sedang melangkah ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Kita perlu menjadi lebih tangkas dan inovatif dalam menggembleng segala usaha bagi menjayakan lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif yang digariskan.
“Iltizam yang jitu, anjakan pemikiran serta sinergi yang utuh antara agensi pusat dan kementerian adalah kunci utama agar RMKe-13 dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata, Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Oktober lalu jelas menunjukkan komitmen kerajaan untuk terus membantu rakyat tanpa menambah beban hutang negara.
“Perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan bukan sekadar angka, tetapi cerminan iltizam kerajaan untuk melabur dalam projek-projek berimpak tinggi.
“Setiap ringgit yang dibelanjakan adalah pelaburan strategik untuk masa depan. Setiap penjimatan yang diperoleh bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, kos sara hidup dan pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti,” katanya.
Leave a Reply