Pada Ahad lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menandatangani satu perjanjian perdagangan yang dikatakan akan meningkatkan aktiviti ekonomi antara kedua-dua negara.
Namun, sejumlah pihak berpendapat langkah ini dibuat dengan menjejaskan perdagangan Malaysia dengan negara lain β terutama China.
Malaysiakini meneliti perjanjian ini dengan lebih mendalam untuk memahami hujah-hujah berkenaan.
Ikut dasar Amerika
Terma paling jelas dalam perjanjian perdagangan timbal balik yang berisiko menjejaskan perdagangan Malaysia-China terdapat dalam Perkara 5.1.
Klausa pertama perkara tersebut menyatakan jika AS mengenakan tarif, kuota, larangan atau langkah perdagangan lain terhadap mana-mana negara bagi melindungi ekonomi dan keselamatan nasionalnya, Malaysia mesti mengambil tindakan serupa atau bersetuju dengan garis masa untuk berbuat demikian.
Sementara itu, klausa kedua mewajibkan Malaysia bertindak terhadap syarikat milik atau dikawal oleh negara lain yang beroperasi di Malaysia dan mengeksport barangan ke AS pada harga di bawah pasaran, meningkatkan eksport barangan sedemikian ke AS, atau menjejaskan eksport AS ke Malaysia atau negara lain.
Walaupun klausa itu bernada tidak spesifik, bahasa yang digunakan dalam Perkara 5.1 itu jelas menyasarkan China, yang menurut Trump telah merugikan ekonomi negaranya.
Klausa lain dalam perjanjian yang membataskan kebebasan ekonomi Malaysia termasuk Perkara 3.3, yang mewajibkan Malaysia berunding dengan AS sebelum menandatangani mana-mana perjanjian perdagangan digital baru dengan negara lain yang boleh menjejaskan kepentingan AS.
βOrigin washingβ
βOrigin washingβ merujuk kepada amalan mengubah asal-usul yang diisytiharkan bagi produk untuk mengelak sekatan perdagangan, tarif, atau kewajiban undang-undang yang lain.
AS sebelum ini menuduh China menggunakan taktik ini untuk mengelak tarif timbal balik.
Perjanjian Malaysia-AS ini mengandungi beberapa langkah bagi membendung amalan tersebut.
Perkara 4 menyatakan jika manfaat perjanjian lebih banyak diperoleh oleh negara ketiga atau warganya, kedua-dua negara boleh menetapkan peraturan asal-usul bagi memastikan faedah perjanjian terutamanya diraih oleh mereka.
Seksyen 5.3 pula mewajibkan Malaysia menggubal dan menguatkuasakan langkah domestik untuk membanteras pengelakan tarif, antaranya pemindahan penghantaran (transshipment), serta menandatangani perjanjian kerjasama pengelakan duti dengan AS.
Unsur nadir bumi
Satu lagi langkah yang dilihat sebagai tamparan kepada China melalui perjanjian ini ialah berkaitan eksport nadir bumi Malaysia.
Lampiran III perjanjian, yang memperincikan komitmen khusus Malaysia, menetapkan bahawa berdasarkan Perkara 6.2, eksport mineral kritikal dan nadir bumi ke AS tidak boleh disekat.
Malaysia juga perlu bekerjasama dengan syarikat AS bagi mempercepat pembangunan industri mineral kritikal dan nadir bumi.
China merupakan pengeluar dan pemproses terbesar nadir bumi β mineral penting bagi industri automotif, pertahanan, dan perkakasan teknologi tinggi AS.
Perjanjian nadir bumi ini β yang turut dimeterai AS dengan Thailand β dijangka dapat mengurangkan kebergantungan AS terhadap nadir bumi dari China.
Selain eksport, Perkara 5.2 juga mewajibkan Putrajaya berunding dengan Washington berhubung pelaburan dalam mineral kritikal dan infrastruktur strategik, yang mungkin menjadi satu lagi halangan bagi syarikat berpangkalan di China.
Sejauh mana pentingnya China kepada Malaysia?
China konsisten menjadi rakan dagang terbesar Malaysia.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan China mencecah RM484 bilion, dengan eksport Malaysia berjumlah RM187.67 bilion β bersamaan kira-kira 11 peratus daripada KDNK.
Namun, AS juga merupakan rakan dagang utama.
Pada 2024, AS mengatasi China sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia, dengan nilai keseluruhan RM198.65 bilion.
Pihak yang menyokong perjanjian perdagangan Malaysia-AS berpendapat ia perlu bagi melindungi perniagaan eksport Malaysia daripada tarif timbal balik, yang kini ditetapkan pada kadar 19 peratus.
Sementara itu, eksport utama seperti semikonduktor dan minyak sawit kekal dikecualikan daripada tarif timbal balik di bawah perjanjian ini.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/759199
Leave a Reply