Terdapat sejumlah pihak dengan mudah memperlekeh dan merendah-rendahkan MIC berikutan kemungkinan parti itu keluar daripada BN.
Kata mereka, MIC adalah parti yang sudah hampir mati, tiada kekuatan dan selama ini hanya bergantung kepada kekuatan UMNO atau sokongan Melayu semata-mata.
Dengan demikian, tambah mereka, lebih baiklah parti itu keluar daripada BN daripada terus menjadi beban kepada gabungan itu.
Malah, ada yang agak sombong berkata, BN tidak terjejas apa-apa jika tanpa MIC.
Realitinya begini – kalau ada yang mengatakan MIC parti yang lemah dan tidak lagi kuat – jangan kita lupa – UMNO juga sudah tidak kuat lagi sekarang ini.
UMNO sekarang sudah jauh berbeza daripada UMNO yang dahulu dan antara sebab hilangnya kuasa BN adalah kerana UMNO sebagai parti tunjang gabungan itu sudah hilang kekuatannya.
UMNO bukan saja tidak mampu lagi mengetuai kerajaan, bahkan daripada segi jumlah kerusi Parlimen, ia tertinggal di tempat ketiga di belakang dua parti Melayu lain iaitu PAS dan Bersatu.
Pada PRU15 lalu, PAS menang 43 kerusi Parlimen, Bersatu 31 dan UMNO hanya 26.
Kalau dinilai kedudukannya berbanding semua parti pula, UMNO sebenarnya jauh lebih terperosok iaitu berada di kedudukan kelima di belakang PAS, DAP, Bersatu dan PKR.
Untuk itu, sebelum mahu berhidung tinggi memperlekeh dan merendah-rendahkan MIC, lihat dulu keadaan UMNO.
Selain itu, tiada mana-mana kawasan Parlimen di negara ini yang didominasi oleh pengundi India sebagaimana ada kawasan lain yang pengundinya adalah majoriti Melayu dan Cina.
Pengundi India boleh dikata ada di merata-rata kawasan Parlimen dan DUN di negara ini.
Dengan itu, apabila MIC bertanding, sudah tentulah ia bergantung kepada kekuatan parti lain, khususnya UMNO untuk beroleh kemenangan.
Apabila UMNO memberi sokongan kepada calon MIC yang hanya bertanding sejamlah kecil kerusi, sebagai balasannya, MIC pula akan menggerakkan pengundi India di semua kawasan yang UMNO bertanding agar memberi sokongan kepada BN.
Sebab itu, ketika UMNO kuat dan beroleh banyak kemenangan, MIC juga mampu mendapat banyak kemenangam.
Itulah namanya persefahaman dan ia menepati konsep kerjasama kaum yang wujud di negara ini.
Maka, demi survivalnya, MIC tidak boleh lagi bergantung kepada UMNO untuk beroleh kemenangan kerana UMNO bukan lagi parti yang kuat untuk orang Melayu.
Tempat UMNO ketika ini sudah diambil alih kepada PAS dan Bersatu yang pada PRU15 lalu telah meraih kira-kira 70 peratus sokongan pengundi Melayu.
Hanya dengan disokong oleh PAS dan Bersatu sajalah MIC mampu menang kembali banyak kerusi sebagaimana pernah dicapai ketika disokong oleh UMNO yang kuat dahulu.
Dengan itu, keluar daripada BN adalah pilihan yang tepat buat MIC agar ia mampu kembali menyerlah sebagaimana dahulu.
Bahkan, MCA juga sepatutnya melakukan tindakan yang sama untuk memperolehi prestasi yang lebih baik berbanding sekarang.
Khusus kepada MIC, sebagaimana disebut sebelum ini, dengan keluar meninggalkan BN, mereka turut mampu meletakkan gabungan itu dalam kedudukan yang pincang kerana tiada lagi parti mewakili kaum India di dalamnya.
Dengan tiada parti kaum India dalam BN yang bermakna seluruh pengundi India juga tidak perlu lagi mengundi dacing pada PRU16 akan datang.
Natijahnya, UMNO paling berpotensi akan hilang lebih banyak kerusi lagi. – ShahbudinHusin 21Okt2025.
Leave a Reply