Ramai penyokong kerajaan menghentam dan mempersenda tawaran yang dibentangkan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin di Parlimen pada Isnin lalu.
Beliau menawarkan bantuan tunai RM500 sebulan atau RM6000 setahun kepada isi rumah yang memerlukan jika PN menjadi kerajaan selepas PRU16 akan datang.
Kata mereka, tawaran Hamzah itu tidak realistik, sembang kedai kopi dan semata-mata untuk memancing undi.
Dia begini – nak tahu realistik atau tidak, sembang kedai kopi atau tidak, tunggu bila beliau jadi Perdana Menteri nanti.
Hamzah menawarkan bantuan itu sebagai alternatif untuk meringankan beban kehidupan rakyat serta sebagai ganti kepada bantuan tunai sedia ada yang diberikan kerajaan.
Menurut Hamzah lagi, bantuan sebanyak RM500 sebulan itu jauh lebih baik berbanding program Bantuan Asas Rahmah (Sara) yang menurutnya bersifat bersyarat dan terhad.
“We know we can do it. Ini berbeza dengan bantuan yang bersyarat, terhad, seperti skim Sara yang mengekang pilihan rakyat.
“Bagi duit Sara, tapi tak boleh (beli) (barang) ini, engkau kena belanja yang ni.
“Apahal ni? Kita PN akan beri bantuan dan kita serahkan kepada rakyat, apa yang mereka perlukan,” katanya lagi.
Kalau kita teliti dan bandingkan dengan bantuan Sara sebanyak RM100 dan BTR setahun empat kali yang diberikan kerajaan, apa yang ditawarkan Hamzah adalah jauh lebih baik dan mampu menangani kos sara hidup rakyat.
Ini kerana bantuan RM500 sebulan yang dinamakan Bantuan Prihatian Nasional (BPN) itu hanya diberikan kepada mereka yang layak dan memerlukan saja, tidak seperti Sara RM100 yang diberi kepada 22 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan mahakaya, tauke korporat dan menteri-menteri.
Apa yang dilakukan kerajaan itu lebih membuktikan ia pendekatan yang malas, cincai dan membazir.
Bagi golongan mahakaya dan tauke korporat, RM100 itu tiada makna kepada mereka.
Bantuan Sara RM100 itu sudah diberi sekali bermula 31 Ogos lalu dan sekali lagi pada Februari tahun depan.
STR pula diberi setahun empat kali dengan jumlah keseluruhan RM1200 bagi keluarga B40 yang layak.
Ini bermakna dengan tawaran Hamzah sebanyak RM500 sebulan atau RM6000 setahun dan hanya diberi kepada kelompok yang memerlukan, ia jauh lebih memberi makna dan mampu melegakan kehidupan seharian mereka yang menerimanya.
Selain, dengan tiada sekatan membeli apa jua barang keperluan, manfaatnya jadi lebih meluas lagi.
Tambahan lagi, dengan golongan mahakaya, tauke korporat dan menteri-menteri dikecualikan sebagai penerima, manfaatnya tidak dibazirkan serta tidak bersifat memancing undi.
Kalau dibandingkan dengan STR empat tahun sekali dan Sara RM100 yang diberi kepada 22 juta penerima, tawaran BPN yang dikemukakan Hamzah terbukti lebih realistik, jujur serta tidak memberi kesan yang terlalu ketara kepada kewangan negara.
Yang penting, kerajaan baru nanti harus mengurangkan pembaziran, mengawal perbelanjaan dengan berhemah serta mengurangkan lawatan-lawatan ke luar negara semata-mata untuk berkenal-kenalan sambil mencari potensi pelaburan yang entah dapat direalisasikan atau tidak. – ShahbudinHusin 15Okt2025.
Leave a Reply