Pendedahan FIFA mengenai pemalsuan dokumen asal usul datuk nenek tujuh pemain warisan yang mewakili Harinau Malaya adalah sesuatu yang amat memalukan kita semua.
Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam usaha kita cuba mengejar kemenangan bermain bola sepak di peringkat antarabangsa.
Memang dalam pertandingan sukan, apa jenis sekali pun, semua orang inginkan kemenangan, tetapi itu bukanlah satu-satunya matlamat yang wajib disasarkan.
Menyertai pertandingan sukan turut bermatlamat untuk bersahabat, mengukuhkan hubungan, menjalin keharmonian, memahami erti kemenangan serta kekalahan dan pelbagai nilai-nilai baik yang lain.
Kalau kita benar-benar berkemampuan untuk memang, ia memanglah berhak dikejar.
Namun, melakukan sesuatu pemalsuan semata-mata untuk beroleh kemenangan adalah menyedihkan.
Kemenangan itu, jika dicapai, walau secemerlang mana sekali pun, ia hanyalah kemenangan palsu.
Ia sama macam tindakan sesetengah pihak membeli “like” atau mengupah cytro berbayar untuk menampakkan sesebuah laman atau “page” itu kononnya disukai rakyat.
Tindakan tersebut tidak ubah seperti membeli sokongan palsu yang mana ia akhirnya tidak mampu pun diubah menjadi sokongan sebenar ketika pilihan raya diadakan.
Dalam sukan, harus kita sedar bahawa Tuhan menganugerahkan kelebihan yang berbeza kepada negara dan bangsa tertentu di dunia ini.
Negara Brazil dan Argentina misalnya diberi kelebihan dalam bola sepak, India dan Pakistan dalam hoki, Jamaica dalam lari pecut, Kenya dalam lari jarak jauh, China dalam badminton dan begitulah seterusnya bagi negara-negara lain.
Tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang cemerlang dalam semua jenis sukan.
Di sinilah terletaknya nilai keharmonian dan mengukuhkan hubungan dalam perbezaan melalui pertandingan sukan yang diadakan.
Negara kita misalnya, kalau kita tidak berapa kuat dan berupaya bersaing di tahap yang lebih tinggi dalam sukan bola sepak, kita harus akui itulah kemampuan kita.
Bolehlah kalau mahu dilakukan perancangan, misalnya mencungkil bakat daripada akar umbi dengan lebih agresif, menyediakan prasarana lebih baik, mengambil jurulatih asing dan sebagainya, tetapi tak usahnya berlebih-lebihan sampai mengambil pemain luar yang dikatakan ada aliran darah datuk nenek warga Malaysia sehingga tujuh orang ramainya.
Untuk mewakili negara, pemainnya haruslah berimej Malaysia – faham budaya Malaysia, berwajah Malaysia dan boleh bertutur dalam bahasa yang biasa dituturkan oleh rakyat negara ini.
Kalau yang bermain itu berwajah Melayu, Cina dan India yang tulen, kalah selalu pun tidak mengapa kerana ia tetap sesuatu yang membanggakan daripada sudut yang lain.
Meski kita akur kita kurang berupaya dalam bola sepak, kita sebaliknya boleh menumpukan kepada jenis sukan yang kita memang berkemampuan dan boleh menang di peringkat antarabangsa, seperti badminton misalnya.
Sukan badminton inilah yang seharusnya kita beri lebih penumpuan supaya terus dan terus cemerlang kerana permainan itulah antara jenis sukan yang Tuhan beri kelebihan kepada kita.
Sebab itulah Jamaica hanya menumpukan kepada lari pecat dan Kenya kepada lari jarak jauh kerana di situlah Tuhan menganugerahkan kelebihan buat mereka.
Pernah kita dengar Kenya dan Jamaica berlebih-lebihan dalam sukan bolasepak atau tenis?
Kita juga patut berbuat begitu dan jangan cuba mencipta kemenangan palsu dengan mereka-reka dokumen palsu. – ShahbudinHusin 07Okt2025.
Leave a Reply