Berikutan terbocornya rakaman audio seorang pemimpin Bersatu – dipercayai suara Wan Saiful Wan Jan – yang mendakwa PAS mahu mencalonkan Hamzah Zainuddin sebagai calon Perdana Menteri, beberapa rakan memberi reaksi musykil mengenai perkara itu.
Beberapa rakan yang menghantar klip video itu, walaupun saya lebih dulu menerimanya, turut menyertakan teks yang berbunyi – macam mana niβ¦kata PAS nakkan pemimpin mereka sendiri sebagai calon Perdana Menteri?
Sekarang kenapa timbul nama Hamzah?
Yang mana satu yang betul – PAS nak Hamzah atau pemimpin PAS sendiri sebagai calon Perdana Menteri?
Situasinya begini – walaupun PN diketuai oleh pemimpin daripada Bersatu iaitu Muhyiddin Yassin, tetapi PAS adalah parti yang terbesar dalam gabungan tersebut.
PAS bukan saja memiliki jumlah Ahli Parlimen teramai iaitu 43 orang, tetapi parti itu juga memiliki kekuatan ahli sebanyak 1.3 juta dan jentera akar umbi yang kuat untuk menggerakkan jentera kempen ketika pilihan raya diadakan.
Dengan kekuatan itu, suara PAS dalam menentukan calon Perdana Menteri bukan saja penting, bahkan tidak boleh diketepikan.
Jika calon Perdana Menteri itu dipersetujui PAS, maka mudahlah untuk PN bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan yang kuat.
Tetapi jika PAS tidak setuju atau tidak berapa setuju sepertimana usul yang diluluskan Bersatu yang menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri, pasti banyak kesukaran akan timbul.
Lihat saja sekarang, disebabkan PAS kurang setuju dan mahu PN mengutamakan matlamat menang pilihan raya terlebih dahulu, keruhnya hibungan antara dua parti itu sudah mula dapat dirasai.
Itu belum lagi bila tiba waktu berkempen dan perlukan jentera untuk menggerakkan aktiviti kempen nanti.
Kekuatan ahli dan jentera hanya ada pada PAS, bukan pada Bersatu.
Ertinya dalam hal ini, bila PAS mahu fokus menang pilihan raya dulu berbanding menamakan calon Perdana Menteri, ia bukan saja pendirian PAS, tetapi bakal menjadi ketetapan PN.
Restu daripada PAS adalah penting, tetapi calon itu tidak akan diumumkan sekarang.
Sama ada calon itu daripada PAS atau daripada Bersatu, bukanlah terlalu penting untuk sesiapa pening kepala memikirkannya.
Suara dalam audio yang bocor itu bukan menggambarkan pendirian rasmi PAS.
Tunggu saja bila tiba masanya nanti dan yang terpaling penting, biar menang dulu.
Kalau Hamzah yang dipersetujui, maka Hamzahlah calonnya dan kalau pemimpin PAS yang direstui, ertinya pemimpin PAS itulah calonnya.
Apa nak susah? – ShahbudinHusin 03Okt2025.
Leave a Reply