Ibarat cinta tiga segi sesama manusia, cinta tiga segi dalam politik juga tidak mungkin menjanjikan kedamaian.
Hubungan akan selalu panas, wujud tekanan yang tidak menentu dan hampir tiada kestabilan.
Begitulah keadaannya dalam cinta tiga menjelang PRN Sabah yang melibatkan PH, GRS dan BN.
Di peringkat awal dulu, oleh kerana ketiga-tiga gabungan sedang makan setalam dalam kerajaan di peringkat pusat, terlihat seolah-olah akan wujud jalan damai dan perkongsian sejati antara ketiga-tiga entiti dalam menghadapi PRN negeri.
Pelbagai usaha untuk mencari titik persefahaman nampaknya tidak berjaya membuahkan apa-apa hasil.
Apa yang terjadi akhirhya ialah PH setuju bekerjasama dengan BN dan dan PH juga setuju bekerjasama dengan GRS, tetapi BN dan GRS masing-masing muktamad untuk berseteru antara satu sama lain lantaran luka silam yang masih tidak dapat dilupakan.
Keadaan ini akan menjadikan pembahagian 73 kerusi DUN Sabah dalam PRN akan datang hanya berlaku antara PH dengan BN dan PH dengan GRS, namun tidak antara BN dan GRS.
Difahamkan BN ingin bertanding sehingga 45 kerusi, manakala GRS yang dianggotai lapan parti pula menyasarkan 55 kerusi untuk ditandingi.
Sementara PH, walaupun ada laporan mengatakan ia mahu bertanding 23 kerusi, tetapi ramai mengatakan angka yang munasabah hanya sekiiar 15 kerusi saja.
Dalam pertembungan cinta tiga segi itu, tidak dapat tidak, BN dan GRS akan berentap sesama sendiri di banyak kerusi.
Yang paling untung ialah PH kerana di mana saja ia bertanding, ia pasti mendapat sokongan daripada BN dan GRS.
Tetapi di mana BN bertanding, GRS sudah pasti tidak memberi sokongan dan begitu juga di mana GRS bertanding, BN tentunya tidak sudi memberi undi.
Dengan itu, di kerusi di mana BN dan GRS bertembung, sokongan yang hadir hanya daripada PH saja.
Dalam keadaan itu, tidak mustahil, ditambah dengan kedudukan PH yang mengetuai kerajaan di pusat, jumlah kerusi dimenanginya akan jadi lebih baik berbanding BN dan GRS, ditambah lagi dengan penonjolan bekas Ketua Setiausaha beberapa kementerian, Ruji Ubi sebagai calon di Merotai dan anak TYT Musa Aman dikatakan di Dun Sindumin.
Lebih memberi malang kepada GRS ialah kerana isu rasuah melibatkan beberapa Adun dan menteri negeri berkaitan perlombongan mineral nampaknya terus panas dan dijangka berpanjangan sehingga DUN dibubarkan.
Isu rasuah yang bersiri-siri timbul itu seperti memberi tekanan yang makin merimaskan kepada GRS dan Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.
Tambah malang lagi dengan perkembangan terbaru di mana Anwar Ibrahim sendiri dilihat jelas tidak senang dengan pendedahan demi pendedahan mengenai rasuah itu, walaupun sebelum ini terlihat cuba mengabaikannya.
Ketika berucap di sebuah himpunan di Inanam baru-baru ini yang seperti ditujukan kepada skandal rasuah yang sedang hangat diperkatakan di negeri Sabah, Anwar menegaskan, beliau tidak akan memaafkan perbuatan mencuri wang rakyat.
“Saya ditangkap, saya dipukul, saya diseksa dalam penjara, saya maafkan.
“Saya dihina, maruah saya dijatuhkan, saya maafkan.
“Tapi kalau anda curi wang rakyat – saya tidak boleh maafkan,” katanya.
Anwar turut menegaskan bahawa SPRM telah bertindak atas “berita terbaru” mengenai dakwaan ke atas pemimpin tertentu Sabah itu.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan itu dilihat merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri I, Jeffrey Kitingan yang disoal siasat SPRM dua hari lalu berhubung dakwaan menerima RM1.78 juta berkaitan lesen perlombongan, hanya sehari selepas ia didedahkan.
“Ada berita baru. Segera, SPRM bertindak – ya, kita akan siasat. Itulah cara kita,” kata Anwar berkenaan ketegasannya memerangi rasuah.
Dalam keadaan ini, kebarangkalian GRS paling terkesan pada keputusan PRN akan datang adalah amat tinggi.
Apakah keadaan itu akhirnya akan memberi kelebihan secara tidak langsung kepada Warisan untuk mampu menang sekurang-kurangnya 37 kerusi iaitu lebih separuh daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi DUN di Sabah dan seterusnya berjaya membentuk kerajaan baru? – ShahbudinHusin 28Sept2025.
Leave a Reply