Hanya beberapa jam setelah tersebar berita perletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di DUN Selangor, Azmin Ali telah tampil menafikan perkara tersebut.
Adun Hulu Kelang itu memberitahu sebuah portal berita, laporan berkenaan adalah tidak benar.
“Tidak benar. Hentikan khabar angin.
“Saya sentiasa optimistik. Kita usaha sedaya upaya. Rakyat mesti dibantu,” katanya.
Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor seterusnya berkata, beliau bersyukur dapat berkhidmat di Selangor kerana kerjasama dan ikatan antara Bersatu dan PAS di negeri itu amat mantap.
“Kami akan berusaha sedaya upaya kami,” tambah Setiausaha Agung Bersatu itu lagi.
Berdasarkan laporan dan ia turut disahkan oleh sumber yang boleh dipercayai, spekulasi peletakan jawatan Azmin itu tercetus susulan beliau sendiri dilaporkan menghantar mesej dalam Grup WhatsApp melibatkan Adun Perikatan Nasional (PN) Selangor dengan memaklumkan hasratnya untuk berundur sebagai Ketua Pembangkang berkuat kuasa 1 Oktober depan.
Mesej beliau itu juga dikatakan menggesa 21 Adun PN lain di Selangor supaya segera berbincang untuk melantik Ketua Pembangkang yang baru menjelang sidang DUN akan datang.
Selepas mesej itu dihantar dan mendapat respon daripada sejumlah Adun, termasuk daripada wakil rakyat Pas yang meminta perkara itu dibincangkan lebih lanjut, mesej Azmin itu segera dipadamkan.
Ia dikatakan dipadam oleh admin Grup Whatsapp berkenaan yang merupakan seorang Adun yang diketahui memang penyokong setia Azmin.
Berkaitan hal ini, saya sendiri ada dihubungi oleh satu sumber yang memaklumkan mengenai perkara itu malam tadi, tetapi sumber berkenaan tidak pasti sama ada mesej Azmin sempat “discreenshot” atau tidak.
Sumber itu hanya berkata, ia akan jadi berita besar esok.
Meskipun mesej itu telah dipadam, rupa-rupanya ada yang sempat membuat “screenshot” mesej Azmin itu dan daripada situlah ia kemudian dilaporkan oleh Utusan pada kira-kira jam 9.50 malam tadi.
Laporan lain menyebut, suatu mesyuarat tergempar telah diadakan malam tadi susulan berita perletakan jawatan Azmin itu.
Di dalam hal ini, adalah jelas dan boleh dikata tidak diragukan lagi bahawa berita perletakan jawatan Azmin itu tercetus daripada mesej yang dihantarnya sendiri.
Azmin sendiri tidak pernah menafikan mesej tersebut bukan dihantar oleh dirinya ke dalam Grup Whatsapp berkenaan.
Yang beliau nafikan hanyalah berita perletakan jawatannya, sambil mengatakan ia tidak benar dan suatu khabar angin.
Soalnya, jika ia khabar angin, apakah ini bermakna angin itu ditiupkan oleh Azmin sendiri?
Apakah tujuan Azmin berbuat demikian?
Apakah semua ini ada kaitan dengan pergolakan dalam Bersatu yang melibatkan pertembungan Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainuddin sehingga beberapa pemimpinnya bakal dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti?
Apakah pergolakan dalam Bersatu akan reda atau lebih banyak angin bertiup lagi selepas ini? – ShahbudinHusin 26Sept2025.
Leave a Reply