Kementerian Pengangkutan mendedahkan tunggakan cukai jalan melibatkan kenderaan mewah yang masih belum diperbaharui kini mencecah RM35.7 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah itu membabitkan kenderaan milik individu berprofil tinggi termasuk tokoh kenamaan, ahli korporat serta ahli politik.
Menurutnya, lima jenama kenderaan mewah yang terlibat ialah Rolls Royce, Lamborghini, Bentley, Ferrari dan Porsche.
“Keseluruhannya lima jenis (kenderaan mewah) dah cecah RM35.7 juta tak bayar cukai jalan. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah laksanakan Ops Luxury dan akan sita kenderaan tak bayar cukai jalan.
“Semua nama-nama maklumat kita ada…ada orang kenamaan, orang politik, ada yang bergelar Tan Sri. Saya tak nak nyatakan nama, saya minta mereka kalau kereta masih aktif (digunakan) sila bayar cukai jalan,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Loke berkata JPJ akan menyita kenderaan mewah yang gagal membayar cukai jalan dan berharap pemilik kereta ini segera memperbaharuinya.
Katanya, dalam Ops Luxury yang dijalankan JPJ sebelum ini turut menyita kenderaan mewah milik artis yang “terlupa” memperbaharui cukai jalan.
“Semua kenderaan ini dalam sistem kita masih aktif, kecuali mereka isytihar pelupusan…kecuali kenderaan tak keluar atas jalan, tak wajib bayar cukai jalan. Semua ini (pemilik) golongan mampu bayar,β katanya.
Peranti had kelajuan
Sementara itu, dalam isu berasingan, Loke berkata, pihaknya menguatkuasakan peranti had kelajuan (SLD) di kesemua kenderaan perdagangan membabitkan bas dan lori.
Penguatkuasa pemasangan peranti itu akan bermula pada 1 Okt ini membabitkan kenderaan keluaran selepas 1 Januari 2015.
Langkah penguatkuasaan ini diambil selepas insiden kemalangan maut membabitkan bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Gerik, Jun lalu.
“Penguatkuasa ini melibatkan kenderaan motor yang dibina selepas 1 Januari 2015, iaitu bas persiaran dan bas ekspres dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram dan lebih lapan penumpang dan kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kilogram,” katanya.
Tegas Loke, pelaksanaan itu akan dikuatkuasa secara serius bagi memastikan kenderaan perdagangan ini mematuhi had laju bagi menjamin keselamatan.
Katanya, dia amat terkesan dengan kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar UPSI itu.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/756045
Leave a Reply