Semalam saya menulis dengan memberi pandangan bahawa PAS tidak boleh meninggalkan Bersatu jika benar-benar ingin memastikan kerusi PM11 menjadi milik mereka pada PRU16 akan datang.
PAS dan Bersatu adalah ibarat aur dan tebing yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Kemenangan 43 kerusi PAS pada PRU15 lepas adalah kerana bekerjasama dengan Bersatu, begitu juga kemampuan Bersatu meraih 31 kerusi adalah turut kerana bekerjasama dengan PAS.
Jika kedua-duanya berpisah dan bertanding sendirian, angka 43 dan 31 itu hampir pasti mustahil dicapai.
Bahkan yang paling rugi jika perpisahan berlaku adalah Bersatu kerana jentera pilihan raya kebanyakannya dimiliki oleh PAS.
Pada PRU14, ketika berada dalam PH, Bersatu ketika itu hanya menang 13 kerusi Parlimen saja.
Ertinya jentera PH daripada PKR, DAP dan Amanah tidak cukup kuat untuk memastikan Bersatu memenangi lebih banyak kerusi, walaupun bertanding paling banyak kerusi iaitu 52.
PAS pula pada PRU14 bertanding secara solo dan mereka menang 18 kerusi Parlimen.
Berdasarkan hakikat di atas, kita boleh bayangkan berapa kerusi PAS dan Bersatu boleh menang pada PRU16 akan datang jika memilih untuk terus berbalah dan akhirnya membawa haluan masing-masing.
Sudah tentu, terutama kerana kekuatan jentera dan akar umbi lebih memihak kepada PAS, Bersatu akan menang hanya sedikit berbanding PAS.
Sebab itu, episod menyalahkan orang lain dan mengungkit haruslah segera ditamatkan demi kemenangan yang diimpikan selama ini dapat menjadi kenyataan.
Baik PAS mahupun Bersatu, apa yang disumbangkan pada PRU15 lepas, baik jentera atau kewangan, anggap saja sebagai sedekah dan amal jariah.
Bila diungkit, maka hilanglah pahala ke celah-celah awan.
Tidak guna berbalah dan menyalahkan pihak lain kerana tiada siapa yang sempurna dan mampu berdiri sendiri dalam sebuah perjuangan.
Hubungan PAS dan Bersatu, kalau mahu dibuat perbandingan, adalah sama seperti hubungan PKR dan DAP dalam PH.
Tanpa DAP, PKR tidak mungkin dapat pergi jauh dan tanpa PKR, DAP tidak mungkin merasa jadi kerajaan.
Bayangkan apa jadi kepada PKR kalau tanpa DAP, begitu juga apa jadi kepada DAP jika tanpa PKR?
Sebagaimana PKR dan DAP memahami hubungan saling memerlukan itu, PAS dan Bersatu juga harus menjaga keperluan hubungan sesama mereka.
PAS dan Bersatu tidak mampu hidup sendirian jika ada cita-cita mahu nenukar kerajaan.
Pihak lawan memang suka melihat PAS dan Bersatu berbalah serta berantakan kerana hanya dengan cara itu saja PKR dan DAP dapat terus kekal memerintah negara ini.
Kecuali jika Pas dan Bersatu juga mahukan PKR dan DAP terus menguasai, silalah terus berbalah, kecam-mengecam dan ungkit-mengungkit tanpa ada titik noktah. – ShahbudinHusin 17Sept2025.
Leave a Reply