Saya jarang memuji pemimpin, kerapnya ialah saya menegur atau mengkritik mereka melalui tulisan-tulisan saya.
Tidak terkecuali, sesekali saya juga menghentam mereka.
Mungkin saya bukan jenis pengampu atau penjilat, sebab itu saya tiada kemahiran berbuat demikian.
Najib Razak, Tun Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan sekarang Anwar Ibrahim, ketika mereka menjadi Perdana Menteri, boleh dikata saya hanya mengkritik mereka.
Saya hanya memuji pemimpin-pemimpin di atas sebelum mereka menjadi Perdana Menteri.
Sebab itu kadang-kadang saya kagum juga dengan mereka yang pandai mengampu dan menjilat itu kerana ada ketikanya pemimpin yang sebelum ini mereka hentam dengan teruk seperti Anwar misalnya, tapi sekarang boleh pula mereka jilat dan puji setinggi langit.
Saya tidak mampu berbuat sebegitu, maka saya serah kepada orang lain sajalah untuk kerja-kerja mengampu dan menjilat itu.
Tetapi kali ini saya ingin memuji Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh atas keberanian, ketegasan dan prinsip perjuangan yang dipegangnya.
Pujian saya pun bukan melangit dan tidak pula sampai ke tahap menjilat.
Sebagai Ketua Pemuda kepada sebuah parti Melayu terbesar dalam negara, pendirian Dr Akmal sepertimana yang ditunjukkannya sejak memegang jawatan tersebut adalah pendirian yang wajar dan betul.
Dalam pendiriannya memperjuangkan isu agama, bangsa, negara dan kedudukan Raja-Raja, Dr Akmal terbukti sentiasa konsisten dan tidak pernah tergelincir daripada landasan.
Begitu juga terhadap DAP, beliau turut konsisten dan tidak pernah βlentuk leherβ daripada mempertahankan pendirian yang selaras dengan perjuangan UMNO.
Dalam isu terbaru iaitu bendera terbalik, beliau sekali lagi membuktikan pendiriannya yang tidak pernah goyang itu.
Beliau bukan saia sanggup ke mahkamah, bahkan ketika didesak oleh beberapa Pemuda DAP negeri agar parti DAP membuat ketetapan memutuskan hubungan dengan Pemuda UMNO, Dr Akmal turut tidak gentar dengannya.
Beliau bahkan mencabar Setiasaha Agung DAP, Anthony Loke agar membuktikan keberaiannya dan memenuhi tuntutan Pemuda DAP beberapa negeri itu.
Ketegasannya ini membuatkan saya tidak mampu mengelak daripada ingin memuji dan mengucapkan syabas kepadanya.
Dengan keberanian dan prinsip yang kekal dipegangnya itu, ahli-ahli UMNO seluruhnya patut berbangga dengan Dr Akmal.
Beliau adalah harapan kepada UMNO dalam meraih kembali sokongan orang Melayu yang semakin menghilang kepada parti itu sejak beberapa PRU yang lepas.
Dr Akmal adalah lambang pemimpin Melayu yang berprinsip yang tidak mudah mengalah dan jika UMNO ada lebih ramai pemimpin sepertinya, harapan untuk mendapat lebih sokongan rakyat pasti bertambah cerah. – ShahbudinHusin 23Ogos2025.
Leave a Reply