MIC nampaknya terus melangkah ke hadapan dalam usaha mencari kekuatan baru bagi menghadapi PRU16 akan datang.
Susulan dakwaan Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, bahawa parti itu diketepikan oleh kerajaan perpaduan — sekali gus mencetuskan perang mulut dengan UMNO dan DAP — Presiden MIC, SA Vigneswaran, kini tampil menjelaskan bahawa semua pilihan terbuka buat parti itu.
“MIC sedia berunding dengan mana-mana pihak demi masa depan MIC dan kesejahteraan masyarakat India,” katanya pada Perhimpunan MIC Perak semalam.
Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, MIC belum menerima jemputan daripada mana-mana parti atau gabungan lain, namun menyatakan sudah tiba masanya parti itu mengambil tindakan demi kepentingan parti.
“Jadi saya telah memutuskan untuk membuka pintu perbincangan dengan pihak lain.
“Jika ia memberi manfaat kepada parti, saya akan lakukan apa sahaja yang perlu untuk masyarakat India juga,” katanya lagi.
Pengisyiharan membuka ruang kepada sebarang pilihan ini memang suatu pilihan yang baik bagi MIC, tetapi ia masih belum memadai.
Sebelum membuka ruang kepada pihak lain untuk datang kepadanya, MIC perlu terlebih dahulu menjadikan dirinya bebas dan tidak terikat lagi dengan BN.
MIC sebenarnya tidak perlu menunggu lebih lama lagi untuk membuat keputusan ke arah itu, sebaliknya harus segera meninggalkan gabungan itu.
Setelah hampir tiga tahun diabaikan oleh BN dan kerajaan perpaduan, ia sepatutnya sudah cukup membuat MIC sedar betapa tidak berharganya mereka.
Kalau MIC betul-betul dihargai, sudah lama penghargaan itu dilakukan atau BN memperjuangkannya.
Mengisytiharkan bersikap terbuka untuk berunding dengan parti dan gabungan lain, tetapi dalam masa yang sama kekal lagi bersama BN, ia hanya memperlihatkan MIC masih mahu bersikap tawar-menawar.
Hanya dengan MIC umumkan keluar BN terlebih dahulu saja dapat menunjukkan mereka benar-benar kecewa dengan BN dan kerajaan perpaduan.
Selepas keluar BN, untuk mereka berunding dengan mana-mana parti atau gabungan lain pun akan menjadi lebih mudah lagi.
Lagi pun, berdasarkan kenyataan beberapa pemimpin UMNO dan penyokong kerajaan perpaduan kebelakangan ini, ia menunjukkan gambaran yang jelas bahawa MIC sudah tidak diperlukan lagi.
UMNO kini sudah ada gading bertuah iaitu DAP sebagai rakan baru yang mereka yakini lebih membawa keuntungan untuk dijadikan pengganti.
Dengan itu, MIC dan malah MCA juga tiada pilihan lain melainkan perlu meneruskan langkah mencari rakan baru demi kelangsungan masa depannya. – ShahbudinHusin 03Ogos2025.
Leave a Reply