Selepas MCA, terbaru ini MIC pula merungut tentang keberadaan mereka dalam kerajaan seperti tidak dipedulikan.
Dalam sebuah interbiu, Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, parti itu tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan, termasuk dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), walaupun mereka mempunyai pemimpin politik kanan berpengalaman dalam barisan kepimpinannya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, MIC akan menentukan hala tujunya selepas mesyuarat agung tahunan parti yang dijadual pada Oktober depan.
Beliau bagaimanapun tidak memberikan kata putus sama MIC akan menyertai Perikatan Nasional (PN) atau mahu bergerak sendirian.
“Buat masa ini, saya tidak berani cakap ya atau tidak,” katanya.
Sebelum ini sejumlah pemimpin MCA juga meluahkan rasa hati yang sama seperti MIC itu.
Lantaran itu, beberapa pemimpinnya mendesak pucuk pimpinan agar membuat ketetapan meninggalkan BN demi masa depan yang baik.
Namun demikian, Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dilaporkan mahu menunggu mesyuarat Agung MCA pada November nanti untuk sebarang ketetapan.
Sebagai parti komponen BN di mana gabungan itu merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan, adalah malang sebenarnya apabila melihat tiada seorang pun wakil MCA dan MIC diberi apa-apa jawatan, baik dalam kerajaan mahu pun GLC.
Dianak-tirikan seperti itu seolah-olah MCA yang mempunyai dua kerusi Parlimen dan MIC yang ada satu kerusi Parlimen, tidak penting kewujudannya dalam kerajaan perpaduan.
Apa yang MCA dan MIC perlu sedar juga, jika mereka terus bersama BN dan BN kekal bekerjasama dengan PH dalam menghadapi PRU akan datang, tiada kerusi tambahan yang akan mereka perolehi untuk ditandingi.
Semua kerusi-kerusi lain akan kekal ditandingi oleh DAP kerana mereka sudah sedia memenanginya pada PRU15 lalu.
Pilihan terbaik bagi MCA dan MIC ialah keluar meninggalkan BN, seterusnya menjalin kerjasama dengan PN yang kini disokong oleh 70 peratus pengundi Melayu negara ini.
MCA dan MIC seterusnya boleh menjalin kerjasama dengan Gerakan dan MIPP, dua parti yang sudah sedia ada bersama PN daripada segi pembahagian kerusi.
Melalui kerjasma itu dan disokong PN, peluang MCA dan MIC memperolehi lebih banyak kerusi untuk dimenangi pada PRU akan datang adalah cerah sekali.
Ia sama seperti keadaan ketika BN berkuasa dahulu di mana MCA dan MIC berjaya memenangi banyak kerusi kerana ia dibantu oleh UMNO yang disokong kuat oleh orang-orang Melayu ketika itu.
Hari ini UMNO sudah tidak kuat lagi, sebaliknya parti yang disokong kuat oleh orang Melayu ialah PN.
Dengan itu, MCA dan MIC perlu bersama PN untuk beroleh kemenangan yang lebih baik.
Jangan tunggu lagi, hanya bersama PN ada masa depan yang lebih cerah buat MCA dan MIC. – ShahbudinHusin 28July2025.
Leave a Reply