Sejak semalam hinggalah sekarang, ternampak sibuk benar para penyokong kerajaan mencipta pelbagai teori dan hujah untuk menafikan ramainya lautan manusia yang hadir dalam demo Turun Anwar di Dataran Merdeka.
Kadang-kadang kelakar pula melihat gelagat mereka yang sanggup bersusah payah itu, walhal mereka bukanlah pakar apa-apa, sekadar aktif di media sosial saja.
Yang nyata, apa yang ditunjukkan itu tidak lain selain menyerlah hati sedang dilanda rasa bimbang.
Mereka bimbang tidak lain kerana demo itu adalah petanda bermulanya suatu kebangkitan yang memungkinkan kerajaan akan tumbang, disertai dengan mereka yang ada jawatan lantikan bakal kehilangan kedudukan serta pendapatan.
Walaupun telah dididik sejak kecil bahawa rezeki datang daripada Tuhan, nampaknya sejak dulu masih ada yang percaya rezeki datang melalui kerajaan.
Kepada yang sedang bimbang, tak usahlah pening kepala memikirkan sama ada yang hadir semalam adalah 500 ribu, 300 ribu, 200 ribu, 25 ribu, 18 ribu, 15 ribu atau hanya sekadar dua tiga ribu saja.
Jika masih keliru dengan jumlah yang hadir, maklumat ini barangkali boleh membantu:-
Video 1 – https://www.facebook.com/share/v/1Dw3BajpWi/?mibextid=wwXIfr
Video 2 – https://vt.tiktok.com/ZSSNCRHww/
Hakikatnya gambar dan video yang kini tentunya tersebar ke seluruh dunia tidak mungkin berbohong.
Budak sekolah pun, kalau ditanya, pasti tidak ragu-ragu menjawab, kehadiran di demo semalam adalah amat ramai sekali jumlahnya.
Berapa jumlah sebenar tidaklah penting selagi yang terpamer adalah lautan manusia.
Tetapi lebih penting daripada itu ialah mesej demo tersebut telah sampai ke dalam hati setiap rakyat dan pengundi negara ini melalui pelbagai platform media sosial yang membantu menyampaikan maklumat.
Tahniah kepada Pas dan PN kerana berjaya menggerakkan demo semalam dan seterusnya berjaya memastikan kehadiran yang cukup membanggakan.
Ingat…ini baru demo permulaan dan jika selepas ini diadakan lagi siri kedua serta seterusnya sehingga PRU16 akan datang, kehadirannya pasti lebih menggegarkan, sekaligus tambah menggugat kerajaan.
Sama macam himpunan Bersih dulu, siri pertama agak kurang tetapi jumlah yang hadir terus meningkat dalam siri-siri yang berikutanya.
Dengan kehadiran semalam juga memperlihatkan bantuan tunai RM100 dan penurunan harga minyak sebanyak 0.6 sen yang diumumkan kerajaan gagal memberi kesan dan menghalang ribuan kehadiran.
Momentum ini adalah keadaan yang tidak baik bagi kerajaan, seolah-olah kepecayaan rakyat telah hilang.
Mahu tidak mahu, sementara kerajaan akan terus goyang berikutan demo sekalam, pembangkang pula tentu tambah bersemangat untuk mengambil alih kedudukan.
Siapa calon Perdana Menteri ternyata bukan suatu persoalan, yang sibuk-sibuk bertanya hanyalah para penyokong kerajaan semasa.
Bagi pihak pembangkang, bila tiba masanya nanti, menjelmalah calon yang dinanti-nantikan itu.
Yang penting, calon Perdana Menteri daripada blok pembangkang ada lebih daripada seorang, bukan asyik-asyik calon yang sama saja.
Dalam konteks berkaitan, goyangnya kedudukan kerajaan susulan demo semalam, mahu tidak mahu, sewajarnya membuatkan UMNO turut sama bimbang.
Jika tidak segera melakukan tindakan menyelamatkan diri, tambahan lagi jika ada dua tiga demo susulan diadakan selepas ini, gelombangnya pasti akan membuatkan parti itu sama-sama hanyut dan kecundang.
UMNO hanyalah penumpang, tiada UMNO pun kerajaan ini masih boleh dikekalkan, tetapi bila kapal hanyut dan tenggelam, mereka juga akan sama-sama jadi mangsa.
Untuk itu, lebih baik segera menyelamatkan diri supaya masa depan dapat diselamatkan.
Petunjuk dan isyarat sudah ada di depan mata, jangan sampai menyesal kemudian. – ShahbudinHusin 27July2025.
Leave a Reply