Sejak seminggu lalu, Perdana Menteri dan kerajaan telah membina momentum seolah-olah berita baik yang bakal diumumkannya pagi ini benar-benar suatu kejutan dan mampu membuatkan rakyat terlompat kegembiraan.
Tidak cukup dengan Perdana Menteri yang ghairah menghebohkan berita gembira itu dan tarikh pengumuman juga dua kali ditunda, Ketua Setiausaha Negara juga turut menyebut ia akan membuatkan semua rakyat tersenyum kerananya..
Malangnya, setelah mendengar pengumuman yang dibuat oleh Anwar Ibrahim pagi tadi, tiada siapa yang terkejut, jauh sekali ada yang terangsang untuk melompat gembira.
Apa yang diumumkan beliau hanyalah berita biasa-biasa, tidak mengujakan dan langsung tiada yang luar biasa.
Di media sosial, yang terlihat hanya respon suam-suam kuku yang kedapatan daripada rakyat kebanyakan.
Secara umumnya, hanya tiga perkara saja yang boleh ditulis sebagai bahan berita dalam pengumuman Anwar itu.
Pertama, setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas diberi RM100 yang boleh dibelanjakan di sejumlah kedai-kedai terpilih.
Kedua, penurunan harga minyak RON95 daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter bermula September depan.
Ketiga, tambahan cuti umum pada 15 September sempena Hari Malaysia pada 16 September.
Butiran lain yang diumumkan adalah maklumat lama yang sudah diketahui sebelum ini di mana ia dimasukkan dalam teks ucapan sekadar untuk menjadikan siaran langsung Perdana Menteri itu lebih munasabah tempohnya..
Daripada tiga perkara tersebut, hanya dua perkara termasuk dalam kategori yang boleh dikata bertujuan meringankan beban hidup rakyat, manakala perkara lain yang juga merupakan beban hidup seharian seperti tol, pinjaman PTPTN, kadar cukai SST dan lain-lain, langsung tidak diberi penurunan.
Memberi duit RM100 bukanlah tidak baik, cuma jumlah itu cukup untuk betul-betul meringankan beban kehidupan rakyat.
Lainlah kalau RM1000 atau RM2000 setiap orang.
Selain itu, bantuan RM100 itu juga merangkumi semua orang, termasuk golongan mahakaya, bangsawan dan seumpamanya, asalkan mereka sedia memohonnya.
Ertinya, tidaklah kerajaan ini benar-benar mengutamakan golongan marhaen dan B40 sebagaimana kerap dilaungkan sebelum jadi kerajaan dulu.
Ada pula yang berkata,semacam jumlah RM100 itu adalah sempena usia 100 tahun Tun Mahathir Mohamad pada tahun ini.
Berkenaan penurunan harga minyak sebanyak 0.6 sen, ia bermakna sejak Anwar jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun lalu, jumlah penurunan sebenar hanyalah sebanyak 0.2 sen setahun.
Itu pun ia dilaksanakan setelah tiga tahun beliau berkuasa, jauh bersalahan dengan janji turun harga minyak yang kerap diulangnya iaitu dalam tempoh 24 jam.
Mujur petikan ucapan berkenaan janji turun harga minyak itu ramai yang mengulang-ulangnya di media sosial hingga sekarang, setidak-tidaknya ia terus mengganggu Perdana Menteri selagi janji itu tidak ditunaikan.
Sama seperti duit RM100, penurunan harga minyak bermula September nanti juga merangkumi semua orang, tak kira marhaen, fakir miskin, B40, bangsawan atau mahakaya.
Oleh kerana golongan mahakaya lebih banyak menggunakan petrol, penurunan harga minyak itu sebenarnya lebih menggembirakan mereka berbanding golongan B40.
Pendek kata, kalaulah niat pengumuman pagi tadi turut bertujuan menghalang rakyat daripada tidak turun berhimpun di Dataran Merdeka pada 26 Julai ini, ternampak tiada yang akan berubah fikiran. – ShahbudinHusin 23July2025.
Leave a Reply