Dua hari lagi iaitu 17 Jun 2025, berkuatkuasalah perletakan jawatan Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi.
Sebelum berkuatkuasanya tarikh itu, Perdana Menteri meluahkan harapan agar Rafizi kembali semula ke dalam kabinet.
Katanya, beliau setakat ini hanya meluluskan cuti bekas Timbalan Presiden PKR itu sehingga 16 Jun 2025, tetapi belum membuat keputusan mengenai perletakan jawatannya.
Orang kanan Perdana Menteri iaitu Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin turut menyusul dengan harapan yang sama agar Rafizi kembali semula ke dalam kabinet.
Malah, beliau menyifatkan tindakan Rafizi menghantar surat perletakan jawatan tidak lebih kerana merajuk selepas kalah kepada Nurul Izzah Anwar dan berharap rajuk itu tidak berpanjangan.
βItu (merajuk) biasa dalam pemilihan kadang-kadang bila kita kalah, kita marah tapi kemarahan itu tentunya tidak dibawa ke mana-mana dan seharusnya kita berfikir secara munasabah untuk melakukan perubahan di dalam negara ini.
βJadi saya harapkan kedua-dua tokoh ini yang besar semangatnya kepada parti dapat memikirkan semula keputusan itu dan kalau mereka patah balik untuk pimpin (Kabinet) itu tentunya lebih baik,β katanya sebagaimana disiarkan dalam sebuah portal.
Begitu pun, baik di media sosial dan di pelbagai grup Whatsapp, didapati hampir semuanya tidak mahu dan tidak setuju Rafizi kembali menyertai kabinet.
Kata mereka, Rafizi harus kekal dengan pendiriannya meletak jawatan dan sekarang biarlah pimpinan yang menang dalam pemilihan PKR baru-baru ini menggantikan tempatnya dalam kabinet.
Tidak kurang yang mengecam Shamsul kerana masih berharap kepada Rafizi, sedangkan sewaktu pemilihan lalu, Ahli Parlimen Pandan dilihat begitu beria-ia mahu diketepikannya.
Terdapat juga yang menyalahkan Anwar kerana berdiam diri dan langsung tidak bersuara ketika pemilihan lalu, tetapi kini mahu pula kepada khidmatnya dalam kerajaan.
Apa yang ditanam, itulah yang akan dituai, demikian antara hujah yang kedengaran.
Dalam pada itu, dengan pengunduran Rafizi, ada juga yang mengharapkan pemimpin gantian yang bakal dipilih Perdana Menteri untuk menggantikan tempat Rafizi nanti mampu berperanan lebih baik berbanding Ketua Cabang Pandan itu.
Secara umumnya, mereka yang menyokong Rafizi, baik daripada kalangan ahli PKR atau rakyat biasa, boleh dikatakan tidak setuju beliau berpatah balik daripada keputusannya meletak jawatan itu.
Keberadan Rafizi di luar kabinet nampaknya lebih disukai berbanding kembali ke dalam kerajaan. – ShahbudinHusin 15Jun2025.
Leave a Reply