Teka-teka mengapa setakat ini hanya cuti Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad saja yang diluluskan oleh Perdana Menteri, manakala perletakan jawatan mereka masih lagi tergantung dan akan diputuskan kemudian, akhirnya terjawab berdasarkan laporan yang disiarkan Malaysiakini.
Laporan yang berdasarkan sumber dalaman PMO itu menyebut, perletakan jawatan tidak diputuskan kerana ketika ini usaha masih dijalankan untuk memujuk Rafizi dan Nik Nazmi agar terus kekal berada dalam kabinet.
“Jika mereka sedia kembali, maka tiada keperluan untuk Anwar Ibrahim melakukan rombakan kabinet,” kata sumber dalaman PMO itu.
Laporan Malaysiakini berkata, perletakan jawatan dua menteri kanan PKR — Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad — menyaksikan gabungan kerajaan Madani yang dipimpin Anwar kini berdepan saat kritikal.
Ia antara menjaga kestabilan kabinet dan menangani dakwaan pembangkang bahawa kerajaan perpaduan semakin hilang arah serta kohesi politik.

Untuk itu, sumber dalaman Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang ditemui Malaysiakini menyatakan bahawa masa depan Rafizi dan Nik Nazmi masih dalam peringkat perbincangan, dengan usaha sedang dijalankan untuk memujuk kedua-dua mereka supaya terus kekal dalam kabinet.
“Kita kena lihat semula kenyataan PMO (Pejabat Perdana Menteri). Perdana Menteri hanya meluluskan permohonan cuti Rafizi dan Nik Nazmi.
“Surat letak jawatan belum diluluskan. Malah, masih dalam perbincangan.
“Apa yang saya boleh pastikan, masih terdapat usaha memujuk Rafizi dan Nik Nazmi untuk kekal dalam jemaah menteri. Seperti saya kata, Rafizi dan Nik sekarang sedang bercuti.
“Maka, ada peluang untuk mereka kembali. Jika kembali, maka tiada keperluan untuk rombakan kabinet.
“Saya jangka, Disember ini akan ada rombakan kabinet secara kecil-kecilan. Maka, Perdana Menteri mungkin tidak minat membuat dua rombakan dalam setahun.
“Jadi, yang terbaik kepadanya adalah cuba mengekalkan Rafizi dan Nik Nazmi,” kata sumber itu lagi.

Persoalannya, apakah Rafizi dan Nik Nazmi jenis yang mudah makan pujuk setelah menghantar surat perletakan jawatan?
Apa tanggapan penyokong mereka dan rakyat biasa jika akhirnya Rafizi dan Nik Nazmi tidak jadi meletakkan jawatan dan kembali berada di dalam kabinet setelah dipujuk oleh Perdana Menteri?
Mahu tidak mahu, jika itu berlaku, sudah tentu kewibawaan dan keteguhan pendirian mereka akan tercalar dengan sendirinya.
Selepas ini, sukar untuk kata-kata mereka dipercayai lagi.
Realitinya, jika dilihat respon yang bertebaran di media sosial, secara majoritinya mahu Rafizi dan Nik Nazmi kekal dengan keputusan meletakkan jawatan dan berada di luar kerajaan.
Bahkan, melalui plan baru yang ikut perancangannya akan diumumkan Rafizi selepas ini, ia dijangka akan melonjakkan lagi nama mereka dalam persada politik negara.
Rakyat sebenarnya merindui Rafizi yang bebas bersuara, berani menegur dan lancar berbicara mengikut apa yang ada dalam fikirannya.
Berbanding jika kembali menyertai kabinet, silap-silap nama mereka lebih tidak dipedulikan lagi.
Sebagaimana sumber PMO itu kemudian mengakui kemungkinan Rafizi dan Nik Nazmi untuk terus kekal dalam barisan kabinet Madani adalah amat tipis, sebenarnya itulah juga harapan para penyokongnya serta rakyat biasa. – ShahbudinHusin 08Jun2025.
Leave a Reply