Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, jawatankuasa itu juga bertujuan untuk membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.
Katanya, jawatankuasa itu akan menjadi platform bagi penyelesaian masalah orang Melayu yang gagal ditangani oleh kerajaan.
“Kita sudah bersetuju bahawa kita akan tekankan masalah orang Melayu, bukan masalah parti itu parti ini dan masalah orang Melayu melibatkan semua orang Melayu.
“Mereka (orang Melayu) memerlukan pejuang untuk menangani masalah mereka, kini mereka belum dapat pejuang khusus, kita tak peduli tentang masalah-masalah lain, kita cuma nak tumpu kepada satu perjuangan saja, iaitu perjuangan menyelamatkan orang Melayu.
“Kita tahu ada banyak masalah yang dihadapi oleh orang Melayu cuma boleh diatasi kalau kerajaan ini dikuasai oleh orang Melayu, sebab itu perjuangan kita ialah untuk mencari jalan supaya kita berkuasa semula supaya kita dapat menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh orang Melayu.
“Kita bersetuju dengan mengadakan satu gerakan tidak rasmi, yang kita panggil sebagai ‘payung besar’ supaya semua orang Melayu boleh ada dalam satu kumpulan,” katanya dalam sidang di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu Mahathir mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin politik bagi membincangkan agenda berkenaan.
Hadir sama pada sesi perbincangan itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sementara itu, ditanya sama ada gerakan itu akan melibatkan parti tunjang orang Melayu iaitu, Umno, Mahathir berkata dia sedia menerima ahli parti itu untuk bersama perjuangan mereka.
“Walaupun dia jadi ahli-ahli Umno, kalau dia bersetuju dengan usaha kita ini, kita terima,” katanya.
Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/745234
Leave a Reply