Saya telah menulis sebelum ini bahawa pertembungan antara Rafizi Ramli dengan Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR kali ini adalah peluang terbuka untuk kedua-dua pemimpin itu melakar sejarah.
Dalam sejarah yang terlakar sejak PKR ditubuhkan, tidak pernah mana-mana pemimpin yang memegang jawatan Timbalan Presiden dapat lepas ke kerusi Presiden.
Semuanya tersadai di tengah jalan – sama ada meletak jawatan dan kemudian keluar parti, berundur atau dipecat.
Artikel berkenaan boleh dibaca di sini – https://shahbudindotcom.net/2025/05/rafizi-dan-nurul-izzah-peluang-melakar-sejarah/
Tetapi, disebabkan Anwar Ibrahim tidak dibenarkan lagi meletakkan dirinya memegang jawatan Presiden pada pemilihan 2028 akan datang, maka siapa yang menang Timbalan Presiden pada 2025 ini akan berpeluang cerah untuk melangkah selesa duduk di kerusi kepresidenan parti.
Oleh sebab Rafizi tewas kepada Nurul Izzah, bererti beliau hanya mampu menuruti sejarah pendahulu-pendahulu Timbalan Presiden PKR sebelum ini yang juga tersungkur di tengah jalan.
Malah, Rafizi juga mencipta sejarah kerana satu-satunya Timbalan Presiden yang dikalahkan dalam pertandingan dan sebab itu beliau dilaporkan membuat keputusan membawa diri tidak hadir di hari terakhir Kongres PKR di Johor Bahru hari ini.
Bagi Nurul Izzah, dengan kemenangannya ini, laluannya untuk beliau mengambil tempat duduk di kerusi Presiden yang sebelum ini diduduki bapanya ternampak tiada masalah lagi.
Cuma, ada halangan besar yang perlu dilalui dengan kerja berat terlebih dahulu oleh Puteri Reformasi itu.
Sebagai Timbalan Presiden yang baru, perkara paling dekat yang mesti dilakukan oleh Nurul Izzah sebaik berkahirnya Kongres PKR ini bagaimana beliau harus berusaha untuk menyatukan kembali penyokong-penyokong Rafizi yang ketika fasa kempen begitu agresif menolak, mengecam dan tidak meyakininya.
Nurul Izzah tiada pilihan lain melainkan perlu menunjukkan kewibawaannya dan meyakinkan mereka untuk kembali bersama-sama parti, khususnya bagi mendepani PRU16 akan datang.
Sekarang ini, penyokong Rafizi memang diketahui lebih βmendoniaβ di media sosial dan kini mereka terbahagi kepada dua kelompok – satu memilih untuk berehat daripada kerja-kerja sukarela membantu parti, manakala satu kelompok lagi ternampak terus mempertikai kemampuan anak sulung Anwar itu, termasuk terus bercakap isu nepotisme yang dikaitkan dengannya.
Gagal membawa mereka ini kembali bersama parti bererti PKR akan terus berpecah dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kelompok ini, jika tidak didekati kembali juga, bererti PKR sengaja mengundang bahaya pada PRU16 akan datang.
Perkara kedua yang perlu didepani oleh Nurul Izzah ialah segera melakukan siri βengagementβ atau libat urus dengan pelbagai kelompok masyarakat yang berada di luar parti.
Ketika ini, mereka juga secara umumnya lebih meyakini Rafizi berbanding Nurul Izzah sebagai pemimpin yang berkemampuan dan ada menarik sokongan selepas Anwar.
Dengan itu, Nurul Izzah harus segera turun padang bertemu, bersemuka dan berdialog dengan mereka bagi menimbulkan keyakinan itu.
Tanpa sokongan atau penerimaan daripada masyarakat luar, Nurul Izzah akan kelihatan tempang dan tidak cukup βummphhhβ untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR.
Perkara ketiga yang akan menentukan sama Nurul Izzah mampu mengambil alih jawatan Presiden PKR pada 2028 nanti banyak sekali bergantung kepada keputusan PRU16 yang dimesti diadakan sebelum 2027.
Jika beliau berjaya membantu PKR dan membantu Presiden mengecapi keputusan lebih baik atau sekurang-kurangnya sama seperti keputusan PRU15 lalu dan PH kekal lagi sebagai kerajaan, memang permaidani merah lagi tebal akan disediakan di laluannya.
Ketika itu, beliau bukan saja sangat dialu-alukan untuk menjadi Presiden PKR, malah juga sebagai Perdana Menteri selepas Anwar.
Namun begitu, jika keputusan PRU16 nanti lebih buruk hasilnya, ketika itu tidak mustahil Rafizi akan dicari kembali. – ShahbudinHusin 24Mei2025.
Leave a Reply