Tindakan Rafizi Ramli menulis surat kepada Anwar Ibrahim memaklumkan keengganannya merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR boleh dianggap sebagai merugikan dirinya sendiri.
Ini kerana beliau sepatutnya boleh memanfaatkan platform perasmian kedua-dua sayap itu sebagai kempen saat-saat akhir sebelum hari pengundian.
Kongres AMK dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei dengan majlis perasmian dijadualkan pada malam sebelumnya.
Pemilihan pucuk pimpinan parti, termasuk bagi jawatan Timbalan Presiden dijadualkan pada 23 Mei, disusuli pembukaan Kongres Nasional PKR pada 24 Mei.
Kesemua program akan diadakan di Johor Bahru.

Rafizi baru-baru ini menulis surat kepada Anwar selaku Presiden PKR memaklumkan keengganannya itu, dengan salinan turut dihantar kepada Setiausaha Agung, Ketua AMK dan Ketua Wanita.
Surat itu kemudian viral di media sosial dan Rafizi menyalahkan siapa yang membocorkan surat tersebut sehingga ia menjadi perbualan umum.
Meskipun surat Rafizi itu dihantar kepada Anwar, tetapi dengan salinan turut diberi kepada tiga pihak lain, kebocoran memang sukar dielakkan.
Lagi pun, surat yang memaklumkan keengganan merasmikan Kongres AMK dan Wanita itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit dan tidak boleh diketahui sama sekali oleh orang lain.
Ahad lalu ketika berucap dalam Jelajah HIRUK di Ipoh, Rafizi menjelaskan keputusannya enggan merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR adalah susulan pelanggaran adab serta hierarki parti apabila program pelancaran jentera PRN Sabah dirasmikan oleh pemimpin lain tanpa perbincangan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.
Beliau menyebut, sebagai pemimpin nombor dua dalam PKR, program itu sepatutnya dilancarkan oleh dirinya.
Jika Rafizi tidak terlalu tergesa-gesa dan dapat berfikir seketika, keberadaannya merasmikan Kongres AMK dan Wanita itu mungkin memberi kelebihan kepadanya.
Peluang berucap di platform rasmi sebelum pengundian pada keesokan harinya di mana beliau dicabar oleh Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi boleh memanfaatkan peluang tersebut untuk menambah undi serta menjelaskan beberapa perkara terkait dirinya dalam isu pertandingan yang sedang berlaku.
Malah, jika beliau digugurkan daripada merasmikan kongres tersebut, simpati pun akan datang kepadanya.
Sayang sekali, Rafizi melepaskan peluang yang ada dan akhirnya merugikan dirinya sendiri. – ShahbudinHusin 20Mei2025.
Leave a Reply