Seperti sudah pudar harapan untuk menang, Rafizi Ramli mendakwa pertembungan antaranya dengan Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR berlaku di atas padang yang tidak sama rata.
Rafizi mendakwa, beliau sebenarnya bertembung dengan Nurul Izzah dalam keadaan segalanya telah disusun bagi memenangkan anak kepada Perdana Menteri itu.
Katanya, titik persamaan antaranya dengan PKR Sarawak ketika ini ialah masuk pertanding hanya untuk kalah.
“Saya tahu masuk pertandingan ini seperti aksi berani mati, tak ubah macam saudara-saudari dekat Sarawak.
“Masuk bertanding dalam pilihan raya menang belum tentu, kalah confirm,” katanya.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi menambah, meskipun isyarat itu telah jelas di mana keseluruhan parti telah digerakkan agar beliau kalah kepada Nurul Izzah, tapi ia tidak mendatangkan masalah kepadanya.
“Saya datang (Sarawak) bukan nak kata tolonglah bagi saya menang, itu hak masing-masing.
“Saya masuk (pemilihan) dengan menerima hakikat kalau saya menang, dunia akan kiamat.
“Gila ke apa kau menang…dalam keadaan segala-galanya telah disusun, ini sebenarnya pertandingan atas padang tak sama rata,” katanya dalam ceramah siri jelajah Hiruk di Sarawak, malam tadi.
Menyifatkan keputusannya bertanding dalam pemilihan kali ini adalah tindakan “berani mati” kerana tahu akan kalah, namun kata Rafizi, beliau juga adalah seorang yang keras kepala dan tidak akan memberi kemenangan percuma kepada lawannya.
Nampaknya sekali lagi Rafizi menggunakan strategi “reverse psychology” atau psikologi terbalik dalam berkempen.
Sebelum ini, ketika Jelajah HIRUK di Kedah, beliau meminta perwakilan agar mengundi Nurul Izzah, bukan dirinya kerana katanya, jika Puteri Reformasi itu kalah, ia akan memberi gambaran Anwar ditolak oleh parti.
Kemudian Rafizi menjelaskan, ucapannya yang meminta perwakilan mengundi Nurul Izzah itu hanyalah sekadar kiasan semata-mata.
“Orang Melayu takkan tak faham kiasan,” katanya sambil mengakui beliau dihujani banyak pertanyaan berikutan ucapannya yang meminta perwakilan mengundi Nurul Izzah itu.
Yang nyata, Rafizi secara tidak langsung mengakui beliau sedang menggunakan strategi “reverse psychology” untuk mendapat undi simpati.
Bermakna setakat ini sudah dua kali Rafizi menggunakan taktik tersebut bagi membuai emosi perwakilan – pertama, ketika meminta perwakilan mengundi Nurul Izzah dan kedua, di mana senalam beliau mengatakan dirinya pasti akan kalah kerana bertanding di atas tanah yang tidak sama rata.
Apakah perwakilan akan termakan dengan strategi Rafizi itu? – ShahbudinHusin 18Mei2025.
Leave a Reply