Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KE MANA RAFIZI SELEPAS PEMILIHAN PARTI?

Pelbagai telahan kini timbul tentang masa depan politik Rafizi Ramli selepas pemilihan PKR pada 23 Mei akan datang ini.

Kalau beliau menang dan berjaya menewaskan Nurul Izzah Anwar serta kekal lagi sebagai Timbalan Presiden PKR, tentunya tiada sebarang masalah akan timbul berkenaan masa depannya.

Cumanya, jika menang dan laluan amat terbuka untuk menerajui PKR pada pemilihan 2028 akan datang di mana ketika itu Anwar Ibrahjm tidak boleh lagi bertanding, gaya politiknya barangkali akan lebih agresif dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Yalah, Rafini selepas ini tidak perlu berselindung lagi tentang masa depannya sebagai bakal Presiden PKR serta bakal Perdana Menteri.

Masalah hanya akan timbul jika beliau tewas kepada Nurul Izzah.

Adakah beliau akan keluar parti dan menyertai Pas, DAP atau sebagainya?

Apakah Ahli Parlimen Pandan itu akan menubuhkan sebuah parti baru?

Yang nyata, selepas kalah nanti, Rafizi sudah tiada masa depan lagi dalam PKR.

Apa lagi, jika difahami secara halus ucapan-ucapan Rafizi dalam kempen Jelajah HIRUK setakat ini, beliau seakan-akan cuba memahamkan tentang wujudnya perancagan halus mahu mengenepikannya.

Pertama yang selalu disebut Rafizi ialah Anwar sendiri pernah bersetuju agar jawatan Timbalan Presiden PKR tidak dipertandingkan.

Rafizi berkata, perkara itu dinyatakan Anwar selepas dia mengadakan dua pertemuan dengan Presiden PKR itu dan sekali dengan Saifuddin Nasution Ismail – yang disebut-sebut berpotensi mencabar beliau pada awalnya.

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal sebagai Timbalan Presiden PKR dan menjadi sebahagian daripada kabinet,” katanya.

Yang kedua, dalam ceramah HIRUK di Kelantan malam tadi, Rafizi mendedahkan bagaimana mesyuarat Biro Politik PKR pada asalnya bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga PRU16 diadakan terlebih dahulu.

Perkara itu, tambahnya, difikirkan perlu untuk mengelakkan berlakunya perpecahan dalam parti.

Beliau mendakwa, keputusan itu kemudian diubah dengan alasan pemilihan parti perlu diadakan untuk membawa masuk ‘bakat baharu’ sebelum PRU16 diadakan.

“Kalau kita kekal dengan keputusan asal dan tidak layan dua tiga orang yang dikatakan “bakat baharu” yang terlalu ghairah nak masuk, kita takkan ada ‘HIRUK’ dan ‘DAMAI’ sekarang ini,” katanya.

Beliau kemudian menamakan antara “bakat baru” itu ialah seperti R Ramanan yang bertanding Naib Presiden dan Kamil Munim yang telah menang tanpa bertanding selaku Ketua AMK serta akan terlepas mengetuai AMK jika pemilihan dilanjutkan selepas PRU16.

Memahami apa yang didedahkan itu dan jika Rafizi sangat berasa hati bahawa di sebalik alasan untuk membawa “bakar baru” itu seolah-olah turut terselit usaha mengenepikannya, tiada kemunasabahan lagi untuk beliau kekal berada dalam PKR selepas ini.

PKR selepas kekalahannya nanti bukan lagi “tanah yang subur untuk beliau berkebun dan bercucuk-tanam”.

Dalam hal berkaitan, Rafizi mengakui ada pelawaan daripada Pas untuk beliau menyertai parti itu, tapi beliau bertegas menolaknya.

“Saya dapat banyak mesej, ‘YB, saya simpati dengan YB, percayalah hanya dalam Pas… YB akan diangkat’.”

“Terima kasihlah, sama ada parti Pas atau mana-mana parti lain, saya tidak berminat.

“Saya hanya kenal satu parti. Saya dalam parti ini, tunggang-langgang bukan sebab jawatan,” katanya lagi.

Tetapi dalam ceramahnya malam tadi, Rafizi juga membayangkan sedia bertanding di Kubang Kerian, Kelantan kerana katanya, tiga perempat darah keturunan keluarganya adalah daripada situ dan hanya satu perempat saja daripada Terengganu.

Kalau masin kata-kata daripada mulutnya mahu bertanding di Kelantan itu, tidak syak lagi hanya melalui Pas sajalah peluang untuk menang jika bertanding di Kelantan.

Baik melalui PKR, UMNO dan apa lagi DAP, Kelantan adalah tanah yang tandus bagi semua parti itu.

Lagi pun, jika beliau dipecat daripada PKR selepas ini, apa lagi pilihan yang ada padanya? – ShahbudinHusin 17Mei2025.

4 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x