Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

RAFIZI AKUI REALITI SUKAR PH HADAPI PRU16

Bagi mereka yang rajin mengikuti tulisan saya sejak selepas PRU15 lalu pasti menyedari bahawa saya sudah kerap kali menulis mengenai kemerosotan sokongan yang dialami PH, khususnya PKR ketika ini.

Malah, saya juga beberapa kali mengingatkan, bukan saja kemenangan 82 kerusi PH ketika ini sukar dipertahankan, malah saya juga yakin kemenangan PKR akan lebih merosot berbanding 31 kerusi yang dimenangi pada PRU15 lalu.

Selain itu saya yakin PN akan kekal mendapat sokongan daripada pengundi Melayu, saya juga penuh yakin Pas akan mampu memenangi lebih daripada 43 kerusi yang dimilikinya sekarang.

Sekaligus saya membayangkan PN akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding PH pada PRU16 akan datang.

Cumanya, disebabkan PN tidak mendapat sokongan yang cukup baik daripada pengundi bukan Melayu, maka gabungan itu tetap sukar untuk menubuhkan kerajaan secara sendirian.

Tetapi, dengan memiliki paling banyak kerusi, PN berpotensi untuk memulakan rundingan bagi membentuk kerajaan dan tidak mustahil, UMNO/BN pun, setelah melihat PH tiada lagi harapan, akan beralih kepada PN untuk memastikannya kekal berapa dalam kerajaan.

Seperti biasa, apabila saya menulis sebegitu, ramai para penyokong dan pentaksub PH/PKR bukan setakat tidak bersetuju dan menolaknya mentah-mentah, malah menuduh saya sebagai walaun.

Kata mereka, saya tidak melihat realiti bahawa sokongan rakyat kepada PH telah meningkat sejak Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Kononnya dengan sentuhan Anwar sebagai Perdana Menteri yang paling rajin dan tak tahu penat, tegas memerangi rasuah dan memberi pelbagai jajan kepada rakyat, khususnya penjawat awam, sokongan rakyat kepada PH telah meningkat dengan banyak dan gabungan itu senang-senang akan menang lagi pada PRU akan datang.

Tetapi, dengan data-data yang ditunjukkan dalam jelajah HIRUK di Seremban malam tadi, apa yang selama ini saya coret itu tidaklah begitu meleset daripada realiti yang ada dalam pemikiran Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, dalam tempoh dua tahun memerintah, PH masih gagal mencapai tahap sokongan Melayu melebihi 30% kecuali pada tempoh “honeymoon” ketika awal mengambil alih kerajaan. 

“Kini, sokongan Melayu terhadap PKR hanya berada pada paras 27%, jauh daripada 35% minimum yang diperlukan untuk mempertahankan 30–40 kerusi parlimen pada PRU akan datang,” ujarnya.

Bagi pengundi Cina, menurut Rafizi, sokongan mereka kepada PH telah jatuh daripada 63% (Mac 2023) kepada hanya 31% (April 2025), manakala 55% lagi langsung tidak menyokong mana-mana parti.

Beliau berkata, kecenderungan tidak turun mengundi kini menjadi realiti bagi pengundi Cina sebagaimana berlaku dalam PRK Sungai Bakap, di mana hanya 40% pengundi Cina keluar mengundi berbanding 80% pengundi Melayu, menyebabkan calon PH kalah di kerusi rersebut.

Rafizi memberi amaran – jika trend itu berterusan, kerusi campuran akan berubah menjadi kerusi majoriti Melayu, menghapuskan kelebihan PH di kawasan bandar.

Bagi pengundi India, Rafizi berkata,  sokongan terhadap PH menjunam daripada 69% pada Mac 2023 kepada 31% pada April 2025 dengan 55% menyatakan tidak menyokong mana-mana parti. 

“Mereka kini tidak lagi sekadar bosan, malah rasa marah dan terpinggir,” tambahnya lagi.

Dapatan paling mengejutkan didedahkan Rafizi ialah berkenaan daripada pengundi muda, iaitu Gen Z (18–27 tahun) dan Gen Millennial (28–44 tahun). 

Katanya, kumpulan  ini lebih mempercayai Pas berbanding PKR dalam menangani isu rasuah dengan angka kepercayaannya – Gen Z: Pas 29% vs PKR 8% – Millennial: Pas 26% vs PKR 21%

Dengan itu, gambaran PN adalah kerajaan menanti ketika ini bukanlah imaginasi, tetapi paling mungkin menjadi suatu realiti.

Tambahan lagi, jika selepas pemilihan PKR tahun ini, parti itu jadi makin berpecah dan berpuak-puak.

Adakah Rafizi pun walaun juga? – ShahbudinHusin 12Mei2025.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

0 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x