Tanpa menunggu sehingga tempoh akhir, Nurul Izzah Anwar akhirnya mengesahkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti hujung bulan ini.
Rafizi Ramli, selaku penyandang jawatan juga telah mengesahkan beliau akan mempertahankan kedudukannya.
Satu lagi nama, Saifuddin Nasution Ismail – setakat artikel ini ditulis – belum lagi mengesahkan pencalonannya dan besar kemungkinan beliau tidak menyertai pertandingan untuk memberi sokongan kepada Nurul Izzah.
Dengan itu, pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden PKR bagi sessi 2025-2028 ini hanyalah dua penjuru antara Rafizi dengan Nurul Izzah.
Sebagai respon awal sebelum pengundian pada 23 Mei depan dan kempen pun belum lagi bermula, tanpa disangkal dan dipersetujui banyak pihak bahawa pertandingan kali ini adalah medan yang teramat sukar bagi Rafizi.
Tidak seperti ketika Rafizi berlawan dengan Azmin Ali pada 2018 (Rafizi kalah) atau ketika bersaing dengan Saifuddin Nasution pada 2022 ( Rafizi menang), pertandingan kali ini pasti berkali ganda jauh lebih sukar bagi Menteri Ekonomi itu.
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pertandingan dengan Nurul Izzah ini dilihat teramat sukar bagi Rafizi untuk mempertahankan jawatannya.
Nurul Izzah adalah anak Presiden PKR sendiri iaitu Anwar Ibrahim merangkap Perdana Menteri ketika ini.
Apabila Nurul Izzah yang sebelum ini hanya Naib Presiden PKR yang dilantik, membuat keputusan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang sedang dipegang Rafizi, keputusan beliau itu tentulah setelah mendapat restu dan lampu hijau daripada Anwar sendiri.
Tidak mungkin Nurul Izzah bertanding tanpa restu dan lampu hijau daripada bapanya.
Dalam erti kata lain, Anwar memang mahu Nurul Izzah menjadi Timbalan Presiden PKR.
Jika Anwar masih mahukan Rafizi sebagai timbalannya, bukanlah sukar sangat untuk beliau menasihati anaknya itu agar tidak masuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dan kekal dengan keputusan awalnya sebelum ini iaitu hanya bertanding jawatan Naib Presiden saja.
Dengan berlawan dengan calon yang gambarannya mendapat restu dan lampu hijau daripada Presiden PKR sendiri, ditambah Anwar kini adalah Perdana Menteri, hampir mustahil untuk Rafizi mampu memenanginya.
Dalam bahasa mudah, tidak mungkin Nurul Izzah kalah dan tidak mungkin juga Anwar sanggup melihat anaknya dikalahkan oleh Rafizi.
Kalau kalah Nurul Izzah kepada Rafizi bererti Anwar juga kalah kepada Rafizi.
Nurul Izzah sendiri pasti sedar hakikat kekalahannya akan menjejaskan nama bapanya di kalangan ahli parti dan di mata umum.
Dengan itu, beliau dan pasukannya pasti akan bekerja sepuluh kali ganda lebih kuat dan kurang tidur daripada hari-hari biasa untuk memastikan kemenangannya dan sekaligus untuk mengelakkan nama bapanya terjejas.
Sokongan terbuka lebih daripada 200 cabang yang diperolehi Nurul Izzah sebelum beliau mengemukakan pencalonan adalah bukti beliau sudah pun memulakan kerja kuatnya itu.
Sebelum Nurul Izzah mengemukakan pencalonanya, sekurang-kurangnya tiga Setiausaha Politik Anwar iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin, Azmin Bidin dan Kamil Munim – telah secara terbuka menzahirkan sokongan kepada Puteri Reformasi itu.
Selepas Nurul Izzah sah bertanding, sudah tentu ketiga-tiga orang kuat Perdana Menteri itu akan terus bekerja lebih kuat memastikan kemenangan Nurul Izzah, sekaligus mengelak nama boss mereka tercemar.
Ketiga-tiga mereka juga sudah pasti bekerja kuat memastikan lebih 200 ketua cabang yang sudah memberi sokongan kepada Nurul Izzah untuk turut sama bekerja kuat memastikan perwakilan di cabang masing-masing tidak pecah undi.
Memastikan kemenangan Nurul Izzah bukan lagi untuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengisi jawatan nombor dua dalam parti, tetapi lebih untuk menjaga nama Anwar sebagai Perdana Menteri agar tidak tercalar dan dimalukan.
Dengan rangkuman segala faktor itu, kecuali jika ada sesuatu yang luar biasa berlaku, secara normalnya Rafizi sukar untuk menyekat kemenangan Nurul Izzah – Shahbudin Husin 09Mei2025.
Leave a Reply