Ahli MT UMNO, Ahmad Maslan dilaporkan menggesa naratif UMDAP ditangkis di peringkat akad umbi.
Katanya, dakwaan yang sering dimainkan bahawa yang mentadbir negara ketika ini ialah “kerajaan “UMDAP” adalah tidak berasas.
“Penjelasan saya mudah – kerajaan ini tidak terbina hanya atas gabungan UMNO dan DAP semata-mata, sebaliknya ia didukung oleh 18 parti yang berbeza.
“Ada 18 parti bersama kita (kerajaan), jangan hanya baca dua nama (parti) saja, katanya.
Ahmad Maslan seterusnya berkata, jika dakwaan pihak lawan bahawa hanya UMNO dan DAP yang membentuk kerajaan, jumlah kerusi Parlimen yang diwakili kedua-dua parti hanyalah 70 dan ia jauh daripada jumlah minimum 112 yang diperlukan di Dewan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan.
Kepada Ahmad, lebih baik tak payah dinafikan naratif UMDAP itu, sebaliknya akui wujudnya kerjasama antara UMNO dan DAP itu dengan ikhlas hati.
Secara mudahnya, walaupun gabungan BN dan DAP hanya mewakili 70 Ahli Parlimen, tetapi ia sudah dikira majoriti dalam kerajaan perpaduan yang wujud sekarang.
Tambahan lagi, UMNO adalah tunjang kepada BN dan DAP pula merupakan parti yang memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam PH.
Dengan itu, naratif UMDAP itu bukan sesuatu yang tiada kebenarannya.
Lagi pun, dalam beberapa PRK yang diadakan sebelum ini, antara faktor penyumbang kemenangan calon UMNO yang mewakili BN adalah melalui undi kaun Cina yang digerakkan oleh kerja kuat jentera DAP.
Dalam waktu yang sama, UMNO juga harus sedar bahawa MCA sendiri iaitu rakan gabunagn yang mewakili kaum Cina semacam sudah jauh hati dengan BN dan mungkin keluar daripada gabungan itu selepas ini.
Bila itu berlaku, DAPlah gantinya.
Makanya, lebih terpuji jika diakui saja naratif UMDAP itu demi masa depan UMNO yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Dalam hal ini, contohilah pemimpin DAP yang kelihatan ikhlas dan benar-benar menerima UMNO sebagai rakan mereka.
Tidak pernah kedengaran pemimpin DAP mengeluh tentang naratif UMDAP, bahkan pemimpinnya cukup bangga meneriakkan “UMDAP Mantap” sebagai simbol kesetiaan dan keikhlasan dalam berkawan.
Sekali lagi disarankan kepada UMNO, contohilah DAP dan terimalah naratif UMDAP sebagai realiti baru. – ShahbudinHusin 30April2025.
Leave a Reply