Pada PRU15 lepas, BN yang bertanding secara solo berjaya memenangi kerusi Dun Ayer Kuning dengan memperolehi sebanyak 9088 undi.
PN pula ketika itu memperolehi 6812 undi.
Dalam PRK Ayer Kuning semalam, BN yang sudah bergabung dengan PH berjaya memperolehi sebanyak 11065 undi berbanding PN yang meraih 6059 undi.
Walhal, jika undi BN dan PH pada PRU15 lalu digabungkan (9088 + 6875), jumlahnya ialah 15,963 undi.
Malangnya undi selepas BN dan PH bergabung dan bekerjasama hanyalah 11065.
Meskipun kemerosotan itu turut disumbangkan oleh peratusan keluar mengundi yang rendah, tetapi kejatuhan sokongan itu terlihat lebih ketara berbanding yang dialami PN.
Jumlah undi itu tidak sepadan dengan kerjasama PH/BN yang sudah lebih dua tahun terbentuk.
PN, di sebalik peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini hanya 58.07 peratus, tetapi penurunan undi gabungan itu hanyalah 816 saja.
Dengan jumlah undi yang diperolehi BN itu, cita-cita Menteri Besar Perak untuk meraih 18000 undi turut jauh tersasar.
Itu pun dengan majoriti pemimpin PH/BN yang berjawatan dalam kerajaan turun berkempen bersama gula-gula pilihan raya sebagaimana yang diberikan oleh Nga Kor Ming kepada pengundi Ayer Kuning.
Dengan keputusan PRK ini, Dun Ayer Kuning dan negeri Perak adalah sasaran yang semestinya akan diberi perhatian oleh PN pada PRU16 akan datang.
Berbekalkan 26 kerusi Dun yang dimenangi pada PRU15 lepas daripada 59 kerusi keseluruhan di Perak, PN sudah pasti tidak akan berdiam diri begitu saja selepas ini.
Apa yang menarik dalam PRK Ayer Kuning ini ialah buat pertama kali slogan UMDAP disahkan kewujudannya.
Ia disahkan melalui laungan tiga kali “UMDAP Mantap” oleh Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang turut disertai sejumlah ahli Pemuda BN.
Sepatutnya dengan laungan dan pengesahan “UMDAP Mantap” itu yang memberi erti UMNO sebagai tunjang BN dan DAP yang memiliki kerusi terbanyak dalam PH sudah bekerjasama erat lagi mantap, undi yang dipeolehi BN jauh lebih meningkat lagi.
Kalau pun tidak berjaya sehingga 18000 atau 15000 undi, sekurang-kurangnya bolehlah dapat sehingga 13000 undi.
Sayangnya, bersama laungan “UMDAP Mantap”, hanya 11000 undi saia berjaya diperolehi oleh calon BN.
Secara langsung bermakna, “UMDAP Mantap” belum lagi benar-benar mantap untuk menjamin kejayaan pada PRU16 akan datang.
Barangkali perlu selepas ini pemimpin UMNO pula turut melaungkan slogan “UMDAP Mantap” dengan lebih kerap lagi dan janganlah biarkan pemimpin DAP saja melaungkannya.
Malah, jika boleh, sediakan jugalah selepas ini topi dan baju T yang bertulis “UMDAP Mantap” untuk dipakai penyokong kedua-dua parti.
Ini baru betul-betul mantap. – ShahbudinHusin 27April2025.
Leave a Reply