UMNO mengesahkan terdapat seorang individu yang sebelum ini menjadi pemegang amanah parti masih enggan menandatangani dokumen pelepasan walaupun pemegang amanah lain sudah berbuat demikian.
Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu yang dilantik sebagai pemegang amanah sepatutnya melepaskan tanggungjawab itu setelah tidak lagi memegang jawatan dalam parti atau kerajaan.
“Ada individu masih enggan berbuat demikian, walaupun tiga pemegang amanah lain sudah menandatangani dokumen pelepasan,” katanya kepada media di Kuantan, Pahang, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Tanah tersebut ialah tapak yang sebahagiannya menempatkan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Ahmad Zahid menjelaskan, sebuah firma guaman telah mengeluarkan surat bagi mendesak individu terbabit untuk berbuat demikian, namun sehingga kini tiada maklum balas diterima.
“Telah ada surat dari firma guaman untuk beliau melepaskannya tetapi hingga sekarang individu berkenaan enggan menandatangani dokumen berkenaan,” jelasnya lagi.
Semalam, media melaporkan UMNO memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan supaya sebidang tanah di ibu kota berkeluasan 9,723 meter persegi dipindah milik kepada parti itu.
Saman difailkan Setiausaha Kerja UMNO, Mohd Sumali Reduan, selaku plaintif menerusi firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 6 Mac lalu.
Mereka menamakan Pendaftar Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai defendan.
Peguam Nor Hazira Abu Haiyan yang mewakili UMNO dilaporkan berkata, pada pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar, mahkamah menetapkan 2 Mei untuk pengurusan kes selanjutnya.
Dalam saman itu, UMNO memohon satu perintah bahawa pemilik geran 78154, Lot 40 Seksyen 51, Bandar Kuala Lumpur yang didaftarkan atas nama empat tokoh dipindahkan kepada nama parti.
Permohonan itu dibuat mengikut Fasal 27.1 Perlembagaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dan Seksyen 9 Akta Pertubuhan 1966.
Empat individu yang menjadi pemegang amanah bagi tanah berkenaan ialah Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Tun Musa Hitam, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarham Sanusi Junid.
Tun Daim dan Sanusi sudah meninggal dunia, manakala yang hidup ialah Tun Mahathir dan Tun Musa Hitam.
Disebutkan oleh Zahid Hamidi bahawa tiga individu telah menandatangani surat pelepasan dan hanya seorang enggan berbuat demikian.
Antara Tun Mahathir dan Tun Musa Hitam, kebarangkalian individu yang tidak menandatangani pelepasan itu ialah Tun Mahathir, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali dan bekas Presiden UMNO.
Kenapakah Tun Mahathir masih enggan menandatangani surat pelepasan tersebut, sedangkan beliau tiada kaitan lagi dengan UMNO? – ShahbudinHusin 11April2025.
Leave a Reply