Sebagai respon kepada ingatan dan nasihat Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi agar mengelak daripada mencari gaduh sehinggalah selesai PRK Air Kuning, Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh berkata, pergerakan yang dipimpinnya itu akan tetap bersuara jika isu-isu sensitif disentuh oleh mana-mana pihak.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali menyentuh isu sensitif membabitkan agama, bangsa dan Institusi Raja-Raja Melayu (3R).
“Saya pun nak ingatkan kepada semua, kalau tak nak saya bergaduh, maka jangan usik perkara sensitif, sama ada daripada parti kerajaan mahu pun pembangkang.
“Sudah tentu saya akan bersuara. Siapa pun yang sentuh, kami akan tetap bersuara,” katanya.
Beliau menegaskan, Pemuda UMNO tidak akan mengelak daripada bersuara jika isu sensitif disentuh walaupun ia akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan.
Pendirian Dr Akmal ini adalah tepat dan wajar kerana sebagai ketua sayap pemuda parti, beliau mesti berwatak agresif, berani dan responsif terhadap isu-isu semasa dalam negara, khususnya jika melibatkan 3R.
Bahkan, demi mempertahankan apa yang diperjuangkan itu, bergaduh sebenarnya adalah satu kewajipan.
Ini barulah pemimpin pemuda namanya dan bukan ketua pergerakan sayap pemuda namanya jika suara lebih banyak tersimpan di halkum daripada dikeluarkan bunyinya.
Lantang bersuara dan sedia untuk bergaduh itu tidak sama sekali bermakna beliau condong kepada PN sebagaimana tanggapan cetek sesetengah pihak, tetapi itulah sebenarnya peranan unggul seorang Ketua Pemuda UMNO yang ada keberanian.
Sebab itu, Presiden UMNO tidak pernah melarang beliau daripada bersuara, malah sehingga bergaduh sekali pun dengan mana-mana pihak, termasuk kepada pemimpin dalam kerajaan sendiri.
Apa yang Zahid Hamidi nasihatkan cuma meminta beliau berehat seketika daripada bergaduh sementara PRK Air Kuning belum selesai.
Ertinya, jika mahu bergaduh, tunggulah sehingga selesai PRK Air Kuning diadakan.
Dalam maksud yang lebih tepat, Zahid Hamidi sebenarnya tidak sama sekali menghalang Dr Akmal daripada terus berperanan seperti yang biasa dilakukannya sebelum ini.
Cuma, buat sementara ini, tenang-tenang dahulu.
Pun demikian, ini tidak pula bererti jika semasa kempen PRK Air Kuning ini masih terdapat pihak-pihak tertentu, termasuk daripada kerajaan sendiri yang cuba membangkitkan isu-isu sensitif melibatkan 3R, maka Dr Akmal harus berdiam diri begitu saja.
Memanglah memenangi PRK Air Kuning itu penting, namun mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan Raja-Raja Melayu jauh lebih utama lagi.
Pokoknya di sini, jika tidak mahu bergaduh dengan Pemuda UMNO, jangan ada mana-mana pihak cuba membangkitkan isu-isu yang boleh membawa kepada pergaduhan.
Jika diimbas kembali kepada masa lalu, Zahid Hamidi sendiri ketika memimpin Pergerakan Pemuda UMNO turut mempunyai keberanian dan kegarangan yang barangkali lebih hebat daripada Dr Akmal sekarang ini.
Ketika itu, beliau bukan saja sentiasa responsif dan bersuara terhadap pelbagai isu dalam dan luar negara, malah berani juga “bergaduh” dengan Presiden UMNO pada itu, Tun Mahathir Mohamad.
Hakikatnya, Zahid Hamidi amat memahami watak perlu seorang pemimpin pemuda.
Lantaran watak berani itulah Zahid Hamidi berjaya mendaki setapak demi setapak tangga kejayaan dalam kepimpinan UMNO sehingga ke jawatan Presiden UMNO.
Suatu hari nanti, Dr Akmal juga tidak mustahil mampu menjadi Presiden UMNO. – ShahbudinHusin 10April2025.
Leave a Reply