UMNO semalam mengumumkan calonnya untuk PRK Air Kuning yang pengundiannya akan berlangsung pada 26 April depan.
Calon yang dipilih BN ialah Dr Yusri Bakir, Setiausaha UMNO Bahagian Tapah.
Dr Yusri berusia 54 tahun dan menurut biodatanya, beliau memiliki ijazah kedoktoran dalam pendidikan Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan kini mengetuai Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di sebuah Institut Pendidikan Guru di Ipoh.
Beliau juga merupakan pengerusi sebuah NGO pendidikan kanak-kanak di Tapah.
Tidak dinafikan pemilihan Dr Yusri sebagai calon adalah pilihan yang baik dan melihat gayanya dalam gambar, ternampak beliau ada gaya untuk menjadi wakil rakyat yang disenangi ramai.
Lebih-lebih dengan pendidikannya yang bergelar Doktor, ia boleh dikira suatu kelebihan baginya untuk memperolehi kemenangan.
Di media sosial, rata-rata penyokong UMNO dan BN memuji latar belakang pendidikannya itu dan ramai yang menyifatkan amat kerugian jika pengundi Air Kuning tidak memilihnya sebagai Adun pada 26 April nanti.
Sementara BN sudah menetapkan calonnya, PN yang akan diwakili oleh Pas pula dijangka akan mengumumkan calonnya malam ini.
Berdasarkan desas-desus di media sosial, Pas dikhabarkan akan meletakkan seorang pemimpin pemuda parti itu sebagai calonnya.
Siapa dia, tunggulah malam nanti.
Memilih calon yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi memang suatu langkah yang terpuji dan ia sekaligus dapat mengangkat taraf wakil rakyat itu.
Namun, pendidikan yang tinggi kadangkala bukan jaminan yang memberi laluan mudah untuk beroleh kemenangan.
Di PRK Sungai Bakap tahun lalu, PH juga meletakkan calon yang berpendidikan tinggi dan bergelar Doktor iaitu Dr Joohari Ariffin.
Ketika itu, ramai penyokong PH berkeyakinan penuh Dr Joohari mampu memperolehi kemenangan dengan tanggapan calon berpendidikan tinggi lebih dipercayai untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Begitu pun, Dr Johari akhirnya tewas kepada calon Pas yang mewakili PN, Abidin Ismail dengan kekurangan 4,267 undi.
Untuk itu, di Air Kuning ini, meskipun calon BN ternampak ada kelebihan dari segi latar belakang pendidikan, UMNO tidak harus terlalu yakin kemenangan boleh diperolehi dengan mudah.
Selagi keputusan belum diumumkan, macam-macam perkara boleh berlaku dan kemenangan Allahyarham Ishsam Haji Shahruddin pada PRU15 lalu dengan majoriti 2,213 undi juga bukanlah jaminan yang boleh membuatkan jentera BN bersenang-lenang.
Paling penting, belajar daripada kekalahan di Sungai Bakap, pemimpin yang datang berkempen jangan sesekali datang dengan lagak pandai, gaya kasar serta mudah mengungkapkan perkataan-perkataan seperti bodoh, bahlul dan sebagainya dalam ceramah mereka.
Rakyat tidak suka, bahkan menolak pemimpin seperti itu dan ia diterjemahkan melalui undi mereka.
UMNO harus bertegas dalam menapis pemimpin-pemimpin yang datang berkempen di PRK Air Kuning nanti jika tidak mahu sejarah Sungai Bakap berulang kembali.
Jangan lupa, dalam UMNO juga ada pemimpinnya yang suka mengungkapkan perkataan bodoh dan sebagainya secara sesuka hati bila saja berucap di depan mikrofon.
Jangan benarkan pemimpin jenis berkenaan memijakkan kakinya ke Air Kuning. – ShahbudinHusin 08April2025.
Leave a Reply