Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

INI CERITA WARTAWAN MALAYSIAKINI YANG DITAHAN REMAN SPRM

Dari awal, saya ingin menerangkan dengan jelas bahawa saya tidak meminta rasuah. Saya tidak pernah meminta “RM100,000” atau berunding sehingga mendapat “RM20,000”.

Pada 6 Februari, saya menerima maklumat tentang sindiket “fly” yang beroperasi di KLIA. Selepas menjalankan siasatan, saya menerbitkan laporan saya di Malaysiakini pada 19 Februari.

(Sindiket ‘Fly’ melibatkan pemalsuan cop keluar masuk imigresen untuk pekerja asing tanpa kehadiran fizikal mereka.)

Walaupun laporan polis telah dibuat, pihak berkuasa gagal mengambil tindakan tegas.

Laporan kedua saya pada 22 Februari mendedahkan penglibatan ejen Pakistan dalam sindiket ini. Sebelum menerbitkan, saya menghubungi dua ejen yang dinamakan untuk mendapatkan komen mereka. Seorang menafikan penglibatan manakala seorang lagi tidak memberi respons.

Selepas laporan diterbitkan, seorang pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri dan pengarah imigresen negeri menghubungi saya untuk maklumat lanjut. Saya bersetuju untuk bekerjasama. Berdasarkan penyelidikan saya, saya yakin bahawa pengarah imigresen negeri tersebut tidak terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah atau sindiket.

Pada 24 Februari, sumber saya memberitahu bahawa seorang pengarah perisikan JIM (bukan orang yang sama seperti di atas) cuba menghubungi saya. Saya sendiri pergi ke jabatan perisikan JIM di Putrajaya, meninggalkan nombor telefon saya pada seorang pegawai, dan meminta pengarah tersebut menghubungi saya. Namun, saya tidak menerima sebarang respons.

Dihubungi ejen

Saya tidak akan bersusah payah berkongsi maklumat dengan pegawai-pegawai ini jika niat saya adalah untuk meminta rasuah daripada ejen-ejen tersebut.

Pada 26 Februari, salah seorang ejen Pakistan yang disebut dalam artikel saya menghubungi saya untuk menafikan penglibatannya, dan saya menawarkan untuk menerbitkan penafian. Dia mendakwa bahawa terdapat seseorang mendekatinya dengan tawaran untuk “menyelesaikan” perkara itu. Saya menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak pernah meminta sesiapa untuk bercakap bagi pihak saya.

Saya kemudian bertemu dengan dua ejen Pakistan yang menghubungi saya dan seorang ejen lain di sebuah restoran di Kuala Lumpur, yang didaftarkan atas nama seorang bekas pegawai tinggi imigresen.

Semasa pertemuan, mereka membawa saya ke bilik persendirian di mana salah seorang ejen mendakwa terdapat pihak meminta RM400,000 untuk “menyelesaikan” kes dengan polis, SPRM, jabatan imigresen, dan Malaysiakini.

Mereka menawarkan saya RM50,000 dan bersedia membayar saya RM20,000 pada masa itu juga. Saya dengan tegas menolak dan menjelaskan bahawa saya tidak boleh dibeli.

Selepas pertemuan itu, saya segera pergi ke pejabat pengarah imigresen negeri untuk membincangkan kes dan membandingkan bukti kami. Jelas bahawa ejen-ejen ini terlibat dalam sindiket, tetapi pengarah tidak dapat mengambil tindakan kerana kekurangan rekod transaksi kewangan sebagai bukti.

Dia kemudian meminta saya untuk berinteraksi semula dengan ejen-ejen tersebut untuk membantu mengumpulkan bukti yang lebih kukuh. Saya bersetuju untuk bertindak sebagai “ejen penyamaran” untuknya.

Bagaimanapun, saya tidak memaklumkan kepada pihak atasan saya di Malaysiakini tentang perkara ini kerana saya bimbang mereka mungkin menghalang saya daripada meneruskannya susulan risiko yang mungkin berlaku.

Walaupun editor mengenali saya sebagai seseorang yang sanggup mengambil risiko, mereka juga menasihati saya untuk berhati-hati, terutamanya kerana saya berurusan dengan sindiket yang mungkin sanggup melakukan apa sahaja untuk menutup mereka yang mendedahkan aktiviti mereka.

Saya harus mengakui bahawa terdapat masa-masa saya mengambil risiko besar dalam usaha mendedahkan sindiket ini tanpa memaklumkan pihak atasan saya.

Operasi

Saya melakukan ini kerana saya percaya bahawa sebagai wartawan penyiasatan, seseorang mesti bersedia untuk mengambil tindakan tertentu untuk mendedahkan kebenaran. Sebelum ini, terdapat kes editor menolak cadangan saya kerana menganggapnya terlalu berisiko.

Pada 27 Februari, ejen Pakistan yang disebut dalam artikel menghubungi saya lagi, meminta untuk menyelesaikan perkara itu. Saya memberitahunya bahawa saya sibuk dan akan menghubunginya kemudian. Pada 28 Februari, saya menghubunginya dan mengatur pertemuan di Hotel Concorde di Shah Alam. Ini berdasarkan persefahaman saya dengan pengarah imigresen negeri yang saya sebut sebelum ini.

Sebelum pergi, saya memaklumkan kepada pengarah imigresen negeri itu bahawa saya akan bertemu dengan salah seorang ejen dan akan menyerahkan sebarang bukti diperoleh kepadanya. Saya juga memberitahunya bahawa jika saya dituduh melakukan apa-apa, dia perlu menyokong saya. Dia memberi jaminan bahawa dia akan melakukannya.

Saya memilih hotel ini atas dua sebab. Pertama, saya membuat liputan berita di tempat yang sama yang dihadiri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shaari. Kedua, hotel ini adalah kawasan terbuka dengan banyak kamera CCTV, yang boleh memberikan bukti penting jika jabatan imigresen mengambil tindakan terhadap ejen-ejen ini.

Apabila kami bertemu, ejen tersebut meminta saya memadam artikel tentangnya. (Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mempunyai kuasa untuk memadam artikel yang diterbitkan di Malaysiakini).

Saya menolak dan berpura-pura berminat untuk “bekerjasama” dengannya serta cuba memujuknya agar memberikan sesuatu yang boleh saya serahkan sebagai bukti. Sebaliknya, dia menyerahkan pada saya satu sampul surat, yang saya percaya mengandungi wang, sebagai rasuah. Terkejut dengan tindakan itu, saya mengambilnya sebagai bukti untuk diserahkan kepada pengarah imigresen negeri yang saya sebutkan sebelum ini. Dalam beberapa saat, lebih sedozen pegawai SPRM menahan saya.

Sejak menulis artikel pertama tentang sindiket baru ini pada 19 Februari, saya tidak pernah menghubungi ejen-ejen ini untuk meminta rasuah. Ejen-ejen inilah yang berulang kali menawarkan rasuah kepada saya. Jika saya ingin mengambil keuntungan daripada artikel ini, saya boleh menghubungi “dalangnya” sebelum cerita awal diterbitkan untuk meminta jumlah yang besar. Saya juga boleh menerima rasuah yang ditawarkan kepada saya di restoran semasa saya bertemu dengan ejen-ejen tersebut. Selain itu, pertemuan ini berlaku di bilik persendirian di restoran tanpa kamera CCTV.

Sebaliknya, saya memilih untuk bertemu mereka di sebuah hotel yang dipenuhi kamera pengawasan, pada hari perdana menteri mengadakan acara di sana. Jika saya mempunyai niat untuk menerima rasuah, saya tidak akan memilih lokasi yang begitu terkenal.

Saya telah mendedahkan sindiket berkaitan pekerja migran selama lebih setahun, tanpa mengambil keuntungan daripadanya. Saya telah menulis banyak artikel eksklusif tentang sindiket ini. Berikut adalah beberapa pautan:

Skandal visa warga asing: EAIC panggil orang kanan ‘Tok Ayah’

Skandal visa perubatan: Pegawai rendah ada aset hampir RM1 juta – sumber

Sindiket ‘fly’: SPRM tahan 3 pegawai imigresen Johor – sumber

Sindiket ‘fly’: OKT dedah nama ‘Tok Ayah’, ‘DK’ ketika siasatan – Sumber

Sindiket ‘Counter Setting’ masih beroperasi di KLIA, dakwa sumber

Pegawai dirakam tumbuk pelancong asing, jerit ‘sial’ di KLIA

Skandal visa perubatan: EAIC minta penjelasan imigresen, polis – sumber

Sindiket pekerja asing: ‘Ikan besar’ masih bebas – sumber

Pada Oktober lalu, saya menyerahkan nama tiga “ikan besar” yang didakwa menjadi dalang sindiket visa perubatan dan counter setting kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail di parlimen (bawah).

Pada bulan itu, saya juga diundang oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) untuk berkongsi maklumat mengenai sindiket visa perubatan. Agensi tersebut masih menjalankan siasatan mengenai sindiket visa perubatan, terutamanya di Johor.  

Kemudian, pada bulan Disember, saya dihubungi oleh seorang pegawai SPRM daripada jabatan komunikasi strategik untuk mengaturkan pertemuan. Saya bersetuju untuk bertemu di sebuah restoran di Putrajaya. Seorang pegawai kanan juga hadir dalam pertemuan tersebut. Saya berkongsi maklumat mengenai sindiket asing dan nama-nama anggota kartel.

Dalam temu bual pada November lalu, rakan sekerja saya S Vinothaa dan saya membincangkan risiko yang kami hadapi semasa menghasilkan laporan-laporan ini, yang mendorong anggota parlimen DAP RSN Rayer menyeru kerajaan memberikan kami perlindungan.

Saya hanya buat kerja saya

Malangnya, kali ini, keadaan berubah, dan saya ditahan ketika saya hampir mendedahkan rangkaian yang lebih besar.

Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa jika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pegawai dengan 12 pasport asing yang saya dedahkan pada 19 Februari, sindiket ini akan dibongkar lebih awal, sekali gus tidak perlu lagi untuk saya meneruskan perkara ini dengan harapan membasmi sindiket yang melanggar undang-undang bersama bantuan mereka yang dipercayai untuk menguatkuasakan undang-undang.

Saya amat menyesal bahawa insiden ini juga mencemarkan reputasi Malaysiakini, yang bukan niat saya. Perkara terakhir yang saya inginkan adalah membawa sebarang kemudaratan kepada organisasi, yang saya sangat hormati. Saya memohon maaf kepada rakan sekerja saya atas sebarang kesusahan yang mungkin disebabkan oleh ini. Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysiakini dan semua pihak atas sokongan mereka.

Sepanjang tahanan reman saya selama empat hari, saya dikurung sendirian dalam sebuah sel selama 15 jam setiap hari, satu-satunya hiburan saya adalah bermain dengan botol air mineral. Tidur di lantai keras dengan hanya sehelai tikar yoga yang nipis sangat menyeksakan fizikal saya. Kejadian itu juga telah memberikan kesan yang sangat berat kepada isteri dan dua orang anak perempuan saya.

Tetapi hati nurani saya tetap tenang. Saya ditangkap kerana melakukan tugas saya.


Nota editor: Ini adalah versti Nantha tentang peristiwa yang membawa kepada penangkapannya pada 1 Mac.

Malaysiakini akan menyiasat kebenaran perkara ini dan telah menubuhkan panel bebas pakar untuk memastikan proses yang adil. Hasil siasatan akan diumumkan, tertakluk kepada panduan undang-undang.

Malaysiakini mengakui bahawa sejak menyertai portal berita ini pada 2018, Nantha tela menjadi wartawan yang cemerlang, menghasilkan banyak laporan eksklusif yang menjadi tajuk utama. Laporannya yang berani tentang sindiket berkaitan pekerja asing membantu mendedahkan isu-isu kritikal.

Malaysiakini tetap berpegang pada komitmennya terhadap integriti kewartawanan, ketelusan, dan pelaporan beretika – prinsip yang membimbing kami sejak penubuhan. Kami percaya pada akauntabiliti, keadilan, dan usaha tanpa henti untuk mencari kebenaran.

Sementara menunggu penemuan panel bebas, Malaysiakini menggantung Nantha dengan faedah penuh.

Siasatan kami akan teliti, adil, dan selaras dengan nilai-nilai yang kami pegang.

Sumber – https://m.malaysiakini.com/news/736592

5 1 vote
Article Rating
Kongsikan artikel ini
Subscribe
Notify of
guest

3 Comments
Newest
Oldest
Inline Feedbacks
View all comments
Anonymous
Anonymous
8 March 2025 6:05 pm

menurutnya………..

Sebelum pergi, saya memaklumkan kepada pengarah imigresen negeri itu bahawa saya akan bertemu dengan salah seorang ejen dan akan menyerahkan sebarang bukti diperoleh kepadanya. Saya juga memberitahunya bahawa jika saya dituduh melakukan apa-apa, dia perlu menyokong saya. Dia memberi jaminan bahawa dia akan melakukannya.
**************************************

Si man jn the black bold tu lahhh!!!!!! yg SPRM PERLU CEKUP, Plus 6 ekor pig gawai SPRM yg tangkapnya tuhhh juga,……. bukannya si wartawan tuhhhh perlu ditangkap

tolol tolol tolol punya pudinon

Anonymous
Anonymous
7 March 2025 10:01 pm

PEMFITNAH PN. 

 Syahredzan Johan

Kerja puak Perikatan Nasional yang menyebar fitnah di bulan puasa.

Ini individu yang guna nama Ibrahim Ani di Facebok. Dia penyokong PN.

comment image

comment image

Ibrahim Ani ini telah sebar fitnah, dakyah dan penipuan di bulan Ramadan yang mulia ini. Tanpa segan silu. Postingnya bukan hanya membuat tuduhan liar kepada parti saya, tetapi juga mengancam ketenteraman awam.

Dan postingnya juga sudah mendapat 2.3 ribu perkongsian (shares) setakat ini. Lebih 900 reaksi.

Tetapi memang tidak memeranjatkan penyokong PN ini tidak segan silu menabur fitnah. Dia belajar daripada pemimpin parti yang diikutinya.

Apapun, saya akan buat laporan ke pihak berwajib terhadap Ibrahim ini.

Kerana pulut, santan binasa. Kerana mulut, badan binasa. Kerana jari…? Fikirkanlah.

AMIR Wartawan Rasmi LR at Friday, March 07, 2025

Share

Anonymous
Anonymous
7 March 2025 4:04 pm

Saya lebih cenderung untuk mempercayai cerita Mamat ini. SPRM perlu menangkap 6 Pegawai SPRM yang terlibat dalam penangkapan Nantha ini. Yakinlah…mereka inilah talibarut pihak sindiket “fly”.

Pengarah Imigresen Negeri juga perlu ada TELOR untuk membela “informer” beliau.

3
0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x