Sekiranya mesyuarat khas PN pada 29 Januari lalu tidak “diganggu” oleh Muhyiddin Yassin dan seterusnya ia tidak dibatalkan, masalah yang membelenggu gabungan itu pasti sekarang ini sudah selesai.
Jika mesyuarat itu dibenarkan berlangsung, tentunya perletakan jawatan Muhyiddin telah dapat disahkan dan Pengerusi PN yang baru juga sudah pun dilantik.
Dengan itu, hari ini sepatutnya masalah PN telah berakhir dan ia boleh terus bergerak ke hadapan sebagai gabungan yang diyakini mampu mengambil alih kerajaan selepas PRU16 akan datang.
Malangnya, semua itu tidak berlaku kerana Muhyiddin seolah-olah enggan melepaskan jawatannya dan ingin kembali menerajui PN semula.
Tindakan beliau “mengganggu”mesyuarat khas PN dengan memanggil perjumpaan dengan ketua-ketua parti pada tarikh dan masa yang sama isitu 29 Januari iuga, tidak lain adalah bertujuan untuk dirinya kekal menerajui dan menguasai PN dalam bentuk yang lain.
Bentuk lain itu ialah dengan mengemukakan idea memansuhkan jawatan Pengerusi PN dan menggantikannya dengan penubuhan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif.
Kiranya Muhyiddin benar-benar sedar masanya untuk mengetuai PN telah berakhir dan pengakiran itu disebabkan tindakan sendiri meletakkan jawatan, kemelut PN tidak akan berlarutan sehingga sekarang.
Begitu pun – kepada PN – yang berlalu biarkan saja berlalu.
Apa yang telah berlalu harus dijadikan pengajaran untuk PAS khususnya, mengenali siapa Muhyiddin yang sebenarnya.
Sebagai langkah ke hadapan, Penolong Setiausaha PN, Takiyuddin Hasan dalam waktu terdekat ini harus segera mengeluarkan surat panggilan untuk diadakan semula mesyuarat khas bagi menggantikan mesyuarat khas terdahulu yang telah dibatalkan itu.
Hanya dua agenda diperlukan dalam mesyuarat tersebut – mengesahkan perletakan jawatan Muhyiddin dan melantik Pengerusi PN yang baru.
Permintaan daripada PAS dan Gerakan sebelum ini untuk diadakan mesyuarat khas masih boleh digunakan untuk mengadakan khas kali ini.
Ia berikutan mesyuarat yang telah dipanggil sebelum ini tidak sempat untuk diadakan.
Selain itu, seperti mana mesyuarat khas 29 Januari lalu tidak menjemput Muhyiddin kerana beliau telah meletakkan jawatan, kali ini juga jemputan terhadapnya tidak perlu dilakukan.
Pokoknya mesyuarat khas kali ini hanya bertujuan untuk mengesahkan perletakan jawatan Muhyiddin sebagai agenda pertama dan melantik Pengerusi PN yang baru sebagai agenda kedua.
Itu saja agendanya dan keberadaan Muhyiddin tidak lagi diperlukan kerana sepatah kata pemimpin PAS – your time is finished.
PN tidak harus membuang masa lagi membiarkan isu perletakan jawatan Muhyiddin terus berlarutan dan tidak diselesaikan.
Hanya dalam mesyuarat berikutnya iaitu setelah Pengerusi PN yang baru dilantik, barulah Muhyiddin perlu dijemput untuk hadir atas kapasiti sebagai Presiden Bersatu.
Ketika itu nanti, barulah munasabah untuk sama-sama dibincangkan hala tuju baru PN, termasuk untuk mewujudkan Majlis Presiden, Majlis Eksekutif atau apa-apa cadangan yang lain.
Setelah jawatan Pengerusi PN diisi, ternampaklah logik di mata dunia untuk diadakan perbincangan bagi menentukan hala tuju baru gabungan itu.
Tentulah kelakar dan jadi lawak antarabangsa kiranya dibenarkan cadangan hala tuju baru PN kemukakan oleh Pengerusi yang sudah pun meletakkan jawatan untuk dibincangkan serta dijadikan ketetapan.
Kepada Muhyiddin, dengan penuh hormat, sekali lagi – your time is finished. – ShahbudinHusin 01Februari2026.
Leave a Reply