Shahbudin…

Mencatat Hitam Putih Malaysia

KEMENANGAN KETIGA BAKAL MENYUSUL, HAMZAH DIJANGKA KEKAL KETUA PEMBANGKANG

Susulan pemecatan Hamzah Zainuddin daripada Bersatu, perkara yang turut menjadi perhatian umum ialah kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Ramai yang bertanya, apakah Ahli Parlimen Larut itu boleh lagi duduk sebagai Ketua Pembangkang dengan kedudukannya kini sebagai Ahli Parlimen yang tidak berparti?

Adakah kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang akan turut sama tergugur berikutan pemecatannya itu?

Pemilihan seseorang Ahli Parlimen sebagai Ketua Pembangkang sebenarnya adalah berdasarkan persetujuan daripada Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang.

Sama ada seseorang itu berparti atau tidak, asalkan mendapat persetujuan majoriti, maka dialah yang akan menjadi Ketua Pembangkang di ParlimenZ

Ertinya, menjadi ahli parti bukanlah syaratnya, yang penting seseorang itu mesti Ahli Parlimen dan disokong oleh majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

Apa kedudukan Hamzah setelah beliau dipecat?

Sebagaimana diketahui umum, sebaik dipecat dan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Haji Hadi Awang di Rusila, Terengganu.

Adalah difahamkan,  antara topik yang paling awal diperbualkan dalam pertemuan itu ialah kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang.

Haji Hadi diberitakan mahu Hamzah terus berperanan sebagai Ketua Pembangkang.

Sebagai rujukan, pemilihan Hamzah sebagai Ketua Prmbankang selepas PRU16 lalu juga adalah bersandarkan syor yang dikemukakan oleh Haji Hadi dan ia kemudian dipersetujui sebulat suara.

Dengan komitmen Presiden PAS mahukan Hamzah terus kekal sebagai Ketua Pembangkang, ia bererti 43 Ahli Parlimen  parti itu tidak akan beralih lagi sokongan mereka kepada calon yang lain.

Di samping itu, sebagaimana diketahui dunia, sebaik dipecat juga , Hamzah turut disokong oleh 19 daripada 25 Ahli-Ahli Parlimen Bersatu.

Dengan kedudukan di atas, kecuali jika takdir Tuhan adalah berbeza, maka Hamzah sudah boleh disahkan akan terus berperanan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen sehingga tibanya tarikh PRU16 akan datang.

Jika perkara itu disahkan nanti, ia bolehlah dianggap sebagai kemenangan ketiga buat Hamzah selepas dipecat daripada Bersatu.

Kemenangan pertama sebelum ini ialah bila Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya setelah dipecat (19 orang) lebih ramai berbanding yang tinggal bersama Muhyiddin Yassin (6 orang).

Kemenangan kedua pula ialah berikutan 118 daripada 168 Ketua-Ketua Bahagian Bersatu tetap bersama dan menyokong Hamzah setelah beliau dipecat.

Mereka yang memecat Hamzah tentulah berharap beliau juga akan kehilangan jawatan Ketua Pembangkang, sama seperti hilangnya jawatan Timbalan Presiden Bersatu yang disandangnya sebelum ini.

Realitinya Hamzah hanya hilang jawatan Timbalan Presiden Bersatu, tetapi tidak jawatan Ketua Pembangkag di Parlimen.

Jawatan Ketua Pembangkang tetap milik Hamzah, Insha Allah. – ShahbudinHusin 17Februari2026.

0 0 votes
Article Rating
Kongsikan artikel ini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
Would love your thoughts, please comment.x
()
x